Ini mungkin detik paling aneh yang berlaku di saingan Liga Super Malaysia (MSL) pada musim ini.
Ia juga mungkin tidak disedari ramai, sehingga video ini menjadi tular di media sosial – kecuali mereka yang menyaksikan perlawanan dan dekat dengan insiden tersebut.
Dalam perlawanan Liga Super Malaysia (MSL) di antara Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menentang Sri Pahang FC, pengendali skuad Tok Gajah, Christophe Gamel kelihatan berlari masuk ke dalam kawasan padang permainan ketika perlawanan memasuki babak akhir perlawanan.
Insiden babak akhir
Insiden tersebut berlaku pada minit ke-90 perlawanan ketika pertemuan kedua-dua pasukan memasuki masa kecederaan.
Kejadian tersebut bermula pada ketika Sri Pahang ketinggalan 0-1 kepada Kedah selepas tuan rumah mendahului perlawanan hasil jaringan minit ke-54 jaringan Rodney Calvin.
Berusaha untuk memburu gol penyamaan sehingga ke minit akhir perlawanan, Sri Pahang kemudiannya memperolehi sepakan sudut di babak akhir perlawanan – menyaksikan penjaga gol pasukan pelawat, Mamadou Samassa turut naik ke atas untuk mencuba nasib.
54' GOL | Rodney Celvin memecahkan kebuntuan di Stadium Darul Aman!@kda_fc 1-0 @OfficialPahang #LigaSuper2022 pic.twitter.com/6GkT3iAJJ9
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 6, 2022
Nasib hampir menyebelahi penjaga gol import dari Mali itu apabila sepakan sudut Azam Azih menuju ke arahnya. Namun ‘bicycle kick’ yang dihasilkan oleh Samassa tidak menjadi membenarkan Kedah untuk melakukan serangan balas pantas.
Percubaan susulan oleh pemain Sri Pahang pula berjaya dikeluarkan oleh pemain pertahanan Kedah.
Situasi tersebut bermakna gawang Sri Pahang terbuka luas tanpa sebarang perlindungan dan berisiko dibocori melalui serangan balas pasukan tuan rumah.
Tindakan tidak disedari?
Mungkin terlampau panik akan situasi tersebut, Christophe Gamel yang pada mulanya berada di kawasan tepi padang untuk memberikan arahan kepada anak buahnya kelihatan panik.
Mungkin tanpa disedarinya, Gamel kemudiannya berlari masuk ke dalam kawasan padang dan seolah-olah cuba menghalang serangan balas yang dilakukan oleh pemain Kedah.
90+1' PERCUBAAN | Penjaga gol Sri Pahang, Mamadou Samassa melakukan percubaan ke arah gawang Kedah Darul Aman pada minit-minit terakhir.@kda_fc 1-0 @OfficialPahang #LigaSuper2022 pic.twitter.com/J9I9wwmMjF
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 6, 2022
Usaha beliau bagaimana pun gagal menyekat pemain Kedah yang lebih pantas. Mujurlah serangan balas itu juga tidak menjadi apabila bola sepakan pemain Kedah sekadar bergolek sipi di tepi gawang yang sudah terbuka luas.
Sri Pahang nyata gagal bermula dengan langkah kanan bagi aksi pertama mereka dalam saingan Liga Super musim ini biarpun tampil dengan permainan menyakinkan.
Kedah pula nyata berada dalam momentum terbaik mereka setakat ini walaupun tanpa kelibat import, Dennis Buschening dan Marc Vales dalam senarai kesebelasan utama.
Anda boleh saksikan detik melucukan itu melalui pautan twitter yang kami kongsikan seperti di atas.