Chelsea melonjak satu anak tangga mengatasi Arsenal untuk berada di tangga ke-4 Liga Perdana Inggeris apabila diikat 2-2 olah Burnley di Stamford Bridge pada awal pagi tadi.
Tatkala Tottenham, Arsenal dan Manchester United semuanya tewas kepada lawan masing-masing pada hujung minggu lalu, keputusan seri tersebut boleh dianggap sebagai peluang yang dilepaskan untuk kelab London itu memperolehi kelebihan dalam pemburuan tiket ke pertandingan UEFA Champions League pada musim hadapan.
Jika menang dalam perlawanan menentang Burnley, skuad kendalian Maurizio Sarri akan melonjak ke tangga ke-3, dengan kelebihan dua mata mengatasi Spurs – walaupun beraksi lebih satu perlawanan berbanding pasukan lain.
Semua gol dalam perlawanan pada pagi tadi dijaringkan di dalam tempoh 24 minit pertama perlawanan.
Jeff Hendrick memberikan pendahuluan buat Burnley hanya selepas lapan minit aksi bermula, sebelum jaringan penyamaan dijaringkan oleh N’Golo Kante empat minit kemudian selepas skil menarik dipamerkan Eden Hazard.
Minit ke-14 perlawanan menyaksikan giliran Chelsea pula mendahului menerusi jaringan Gonzalo Higuain. Namun pasukan pelawat menyamakan kedudukan kemudian melalui Ashley Barnes untuk merekodkan jaringan ke-11 peribadi beliau di saingan liga pada musim ini.
Ia jelas malam yang mengecewakan untuk Sarri dan Chelsea. Callum Hudson-Odoi dikeluarkan selepas mengalami kecederaan tendon kaki, dan Kante turut mengalami nasib yang sama akibat kecederaan di bahagian rusuk.
Sarri sendiri diarahkan oleh pengadil untuk meninggalkan kawasan teknikal untuk duduk bersama penonton dalam perlawanan itu.
Dengan keputusan ini, Burnley hampir pasti terselamat dari penyingkiran dengan baki tiga perlawanan untuk ditempuhi pada musim ini.