Barcelona mengukuhkan cengkaman di tangga teratas dalam saingan La Liga apabila menang 2-0 keatas Malaga di Estadio La Rosaleda.
Kemenangan ini juga masih mengekalkan rekod tanpa kalah buat Barcelona dalam saingan liga.
Jaringan pada babak pertama oleh Luis Suarez dan Phillipe Coutinho membantu skuad bimbingan Ernesto Valverde yang beraksi tanpa bintang utama, Lionel Messi itu untuk mencatatkan kemenangan ke-22 selepas mengharungi 28 perlawanan.
Barcelona membuka tirai jaringan pada minit ke-15 perlawanan selepas Suarez menanduk masuk bola hasil hantaran lintang menarik yang dilakukan Jordi Alba dari sebelah kanan pintu gol tuan rumah.
Jaringan tersebut terus menyemarakkan semangat para pemain Barcelona bagi menambah jaringan kedua.
Phillipe Coutinho berjaya menjaringkan gol cantik menerusi ‘back heel’ selepas pemain antarabangsa Brazil itu menerima hantaran dari Ousmane Dembele pada minit ke-28.
Berselang dua minit kemudian, perlawanan dicemari dengan insiden layangan kad merah diberikan kepada pemain Malaga, Samuel Garcia yang melakukan terjahan keras terhadap Jordi Alba.
Barcelona terus mendominasi perlawanan namun dua jaringan pada separuh masa pertama itu kekal hingga tamat perlawanan bagi mengesahkan kemenangan 2-0 buat mereka.
https://youtu.be/Qve152zMDjM