Bagi anda yang sememangnya mengikuti aksi Norwich City pada musim ini, anda seharusnya tahu skuad kendalian Daniel Ferke ini tidak mengamalkan corak bertahan ‘park the bus’ yang sinonim dengan bekas pengurus Chelsea dan Manchester United, Jose Mourinho.
Namun itulah hakikatnya yang berlaku semalam. Pemain-pemain Norwich terpaksa meninggalkan bas yang telah dihiasi untuk tujuan perarakan kejuaraan EFL Championship di tepi jalan – selepas bas itu rosak.
Perkara yang melucukan ialah, aksi beberapa pemain Norwich yang cuba menolak bas tersebut. Sudah tentu mereka gagal melakukannya.
Disebabkan bas tersebut rosak, pemain-pemain Norwich terpaksa mengubah pelan dengan menaiki bas awal untuk tujuan perarakan tersebut.
Ribuan penyokong turut hadir membanjiri setiap pelusuk jalan dan laluan untuk bersama-sama pasukan kesayangan mereka meraikan kejuaraan EFL Championship itu.
Keraian oleh Norwich turut diserikan dengan perlawanan persahabatan di kalangan pemain sedia ada dan bekas pemain kelab tersebut, yang turut disaksikan lebih 20,000 hadirin di Carrow Road.
Pesta keraian meraikan kejuaraan Norwich berterusan selepas tamat perlawanan tersebut.
Norwich muncul juara EFL Championship untuk musim 2018/19 setelah menamatkan musim ini dengan 94 mata dari 46 perlawanan, sekaligus membolehkan mereka kembali ke Liga Perdana Inggeris dalam saingan pada musim hadapan.
Saksikan gelagat pemain Norwich City yang terpaksa turun dari bas mereka yang rosak.