Sembilan bulan lalu, Celtic berdepan dengan musim yang cukup mengaibkan apabila menamatkan saingan Liga Scotland 25 mata di belakang musuh tradisinya Rangers yang turut menamatkan rentetan sembilan kejuaraan berturut-turut The Hoops.
Kemudian, bermulanya era baharu di bawah Ange Postecoglou, seorang jurulatih berpengalaman yang bertindak melakukan ‘rombakan’ besar-besaran dengan melepaskan beberapa nama besar dan mendapatkan pemain baharu yang dapat memberi komitmen kepada cara permainannya.
Antara langkahnya yang mencuri perhatian adalah membawa masuk pemain sayap Jepun, Kyogo Furuhashi dari Vissel Kobe walaupun pada awalnya banyak pihak yang meragui kemampuan pemain berusia 26 tahun itu untuk memberikan impak yang berkesan.
Bagaimanapun pemain berusia 26 tahun itu segera membuktikan keupayaannya dengan mencetak hatrik ketika membantu pasukannya menang besar 6-0 ke atas Dundee United pada Ogos lalu dan kini telah pun mengumpul 16 gol daripada 26 perlawanan dalam semua pertandingan.
Melihat kepada kemampuan pemain Jepun seperti Furuhashi membiasakan diri di Eropah, Postecoglou telah mengambil keputusan untuk membawa masuk tiga lagi pemain dari negara matahari terbit itu sebaik sahaja jendela perpindahan musim sejuk dibuka pada 31 Disember tahun lalu.
Daizen Maeda dipinjam dari Yokohama F. Marinos untuk mengukuhkan jentera serangan, sementara dua pemain tengah Yosuke Ideguchi dan Reo Hatate pula dibeli dari Gamba Osaka dan Kawasaki Frontale.
“Because of how well Kyogo Furuhashi is doing, and also in the past when Shunsuke Nakamura played for Celtic, there is a lot of interest in Japan, and I hope there will be more Celtic supporters in Japan now."
Daizen Maeda pic.twitter.com/y6u9Eds2eM— CelticQuote (@CelticQuote) January 1, 2022
Seperti Furuhashi, ketiga-tiga pemain ini tidak perlu menunggu lama untuk membalas kepercayaan yang diberikan. Maeda telah meledak satu gol apabila diturunkan dalam debutnya ketika menewaskan Hibernian 2-0 pada 18 Januari lalu.
Kemudian Hatate pula membuka akaun jaringannya di Liga Scotland dengan membantu Celtic menewaskan Hearts 2-1 pada 27 Januari untuk memastikan pasukannya terus mengekori rapat pendahulu Rangers.
Tetapi tanggal 3 Januari 2022 akan menjadi detik manis buat pemain kelahiran Suzuka ini apabila berjaya mencetak dua gol ketika menentang Rangers untuk memastikan Celtic menguasai pertembungan ‘Old Firm Derby’ dengan kemenangan 3-0, sekaligus memintas musuh tradisi mereka dan naik ke puncak liga.
Diharapkan kehadiran keempat-empat pemain ini dapat mengembalikan zaman kegemilanan Celtic seperti mana yang pernah dijelmakan oleh pemain legenda Jepun, Shunsuke Nakamura kira-kira sedekad yang lalu.