Pep Guardiola mengakui Raheem Sterling sepatutnya mengelakkan diri dari melakukan lagak tidak sepatutnya di minit akhir perlawanan menentang Manchester United semalam.
Manchester City kembali menerajui persada Liga Perdana Inggeris, selepas jaringan David Silva, Sergio Aguero dan Ilkay Gundogan berjaya membantu membenam seteru setempat, Manchester United.
Namun aksi Sterling di minit akhir perlawanan yang cuba memperlekehkan lawan membuatkan Juan Mata tidak berpuas hati dengan sikap pemain antarabangsa England itu.
Sterling yang memiliki bola, cuba melakukan stepovers terhadap beberapa pemain United yang cuba merampas bola daripada beliau.
Pandangan Guardiola
Walaupun Guardiola berpuas hati dengan taktikal pasukannya yang berjalan lancar, bekas pengendali Barcelona itu mengakui Sterling tidak sepatutnya berkelakuan sebegitu.
“Saya suka cara [Sterling] bermain,” ujar Guardiola yang turut memberikan dua pemain muda, Phil Foden dan Leroy Sane minit beraksi dalam perlawanan tersebut.
Guardiola yang menegur perbuatan Sterling di atas padang juga berpendapat: “Cara terbaik ialah untuk Sterling terus memastikan pasukan terus memiliki penguasaan bola sepertimana hantaran yang beliau lakukan bersama Leroy [Sane] dan Phil [Foden].
“Dalam situasi seperti itu ketika perlawanan berbaki 2-3 minit, mereka [City] berjaya menguasai perlawanan seterusnya. Ia adalah lebih baik daripada menunggu perlawanan tamat dengan bertahan.
“Tetapi Sterling melakukan pergerakan dengan kakinya, dan perkara itu boleh dielakkan. Beliau adalah seorang pemain muda, dan saya yakin beliau akan belajar.
Perubahan taktikal
Sterling mengakhiri perlawanan sebagai penyerang tengah selepas Guardiola mengeluarkan Aguero. Pengurus berbangsa Catalan itu juga gembira kerana perubahan taktikal yang dilakukannya berjaya.
“Babak pertama bukan seperti yang kami harapkan. Kami bermain tanpa sebarang hala tuju untuk menyerang. Kami merasa sedikit tekanan,” kata Guardiola.
“[United] mahu mendapatkan keputusan dari perlawanan derby-itu normal-tetapi kami juga pasukan yang stabil, berjaya menjaringkan gol dan 15 minit pertama adalah sangat bagus. Selepas itu, kami tidak melakukan tekanan yang cukup dan kami sepatutnya beraksi lebih baik dari itu.
“Babak kedua, kami bermain dengan baik, dan gol Aguero juga amat membantu. Selepas dibolosi sekali, kisah perlawanan musim lalu mulai menghantui. Namun kami berjaya bertahan dengan baik.
“Melalui sepakan percuma, mereka [United] adalah sangat kuat berbanding kami. Tetapi apabila Gundogan dan Raheem berada di posisi seperti pemain penyerang, ia membolehkan kami melakukan lebih banyak hantaran, dan 30 minit terakhir kami beraksi dengan sangat cemerlang,” jelas Guardiola mengenai perubahan yang dilakukannya.