Bekas pemain tengah Selangor, S Veenod bakal menjadi taruhan terbaharu Melaka United (MU) apabila berdepan Kedah untuk aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Jumaat ini.
Veenod yang dilepaskan oleh pasukan Kelantan disahkan menyarung jersi skuad berkenaan pada jendela perpindahan pemain musim ini. Beliau merupakan antara pemain yang dibawa masuk oleh jurulatih baharu skuad itu, E. Elavarasan.
Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata kepada Berita Harian, cadangan jurulatih E Elavarasan menyenaraikan pemain itu dipenuhi pihak pengurusan dalam misi memperkuatkan jentera tengah skuad terbabit.
Selain Veenod, Melaka United turut menandatangani bekas pemain skuad kebangsaan, Syahrul Azwari.
“Penyertaan dua pemain ini diharap mampu menjadi tonik buat Elavarasan dan pasukan melonjak dari kedudukan ketiga terbawah liga ketika ini walaupun bakal berdepan ujian getir Helang Merah.
“Pengalaman dua pemain yang pernah beraksi bersama skuad negara, selain berganding dengan pemain sedia ada, termasuk R Gopinathan dan S Chanturu diharap menghasilkan keputusan positif,”katanya.
Posisi import dari Portugal yang beraksi di bahagian tengah, Thiago Gomes turut diganti import Korea Selatan, Lee Chang Hoon sekali gus menukar wajah penampilan pasukan ketika berdepan Kedah kali ini.
Pemain tengah berusia 32 tahun itu sebelum ini pernah beraksi bersama beberapa kelab K League bermula dengan kelab Gangwon FC sebelum menyertai Seongnam.
Beliau kemudiannya dipinjamkan ke kelab Sangju Sangmu sebelum kembali ke Seongnam dan membantu pasukan itu mendahului K League 2 2018 setakat ini.
MU ketika ini berada di tangga ke-10 selepas mengumpul 11 mata, manakala Kelantan dan Negeri Sembilan masing-masing menduduki tangga ke-11 dan ke-12 dengan lapan mata.