Pemain pertahanan Manchester United, Raphael Varane kini telah menamatkan perjalanannya bersama-sama Perancis dengan memilih untuk meninggalkan Les Blues.
Varane memilih untuk meninggalkan skuad Perancis dengan bersara daripada kancah bola sepak antarabangsa pada usia 29 tahun.
Menurut Varane, walaupun sentiasa berasa bangga dapat mewakili Les Blues, beliau sebenar sudah lama memikirkan mengenai keputusan untuk tidak lagi mewakili Perancis.
“Saya sudah memikirkan mengenai perkara ini untuk beberapa bulan dan saya membuat keputusan ini adalah masa terbaik untuk bersara daripada bola sepak antarabangsa.
“Mewakili negara yang begitu indah ini selama sedekad adalah satu penghormatan terbesar dalam hidup saya.
“Setiap kali saya menyarung jersi berwarna biru saya berasakan kebanggaan yang cukup hebat, perasaan untuk memberikan yang terbaik ketika bertugas [untuk negara], untuk bermain sepenuh hati dan menang setiap kali berada di atas padang,” kata Varane menerusi ESPN.
Bersama Perancis, Varane melakukan sebanyak 93 penampilan dengan lima jaringan berjaya dihasilkannya.
Varane juga menjadi salah seorang pemain yang menyumbang kejayaan Perancis sewaktu bergelar juara Piala Dunia 2018 di Rusia dengan menghasilkan persembahan cemerlang di bahagian pertahanan.
Walaupun masih mampu untuk meneruskan kariernya dalam bola sepak antarabangsa, tetapi Varane lebih memilih untuk fokus kepada komitmen bersama United.
Dengan persaraan Varane bakal membuka ruang kepada Ibrahima Konate dan Dayot Upamencano untuk lebih kerap digandingkan oleh Didier Deschamps dalam tugasan Perancis selepas ini.