Pejabat Persatuan Pengadil Itali (AIA) telah menerima kiriman yang tak diingini berupa sampul surat berisi peluru. Hal itu disahkan sendiri oleh Presiden AIA, Marcello Nicchi.
Peluru itu ditujukan kepada Nicchi dan timbalan beliau Narciso Pisacreta serta seorang lagi pegawai Nicola Rizzoli. Ianya adalah amaran ugutan daripada individu yang tak puas hati dengan implementasi VAR dalam Serie A.
Serie A musim ini menggunakan teknologi VAR buat pertama kali. Sistem itu diberikan lampu hijau untuk digunakan dalam Piala Dunia 2018.
Nicchi menganggap tindakan menghantar sampul surat berisi peluru itu sebagai satu ancaman kepada pengadil. Beliau menyatakan ancaman dan kecaman kepada pengadil di Itali telah menjadi masalah yang kian meruncing.
“Benda seperti ini berlaku setiap tahun. Dalam tempoh beberapa dekad kebelakangan ini, seramai kira-kira 300 pengadil diserang dan dikasari.”
“Dalam kira-kira 100 orang daripada pengadil mengalami kecederaan serius dan dikejarkan ke hospital.”
AIA juga mahu bersemuka dengan beberapa penulis sukan yang terlalu fanatik dan menulis ayat memprovokasi penyokong menembak pengadil.
Ada beberapa media termasuk media berpengaruh di TV telah menyatakan pengadil Itali telah mengisytiharkan perang dengan penyokong bola sepak. Nicchi berkata lagi:
“Beberapa wartawan juga telah melampaui batas. Ada wartawan di televisyen yang mengisytiharkan perang di antara orang ramai dan pengadil bola sepak.”
Nicchi (gambar) risau dengan ayat-ayat provokasi ini akan mampu mencetuskan perkara yang tak diingini.
“Mereka menggunakan kata-kata, dalam perang orang tak pakai wisel tetapi senapang. Mereka memprovokasi penyokong dengan ayat, anda harus menembak pengadil yang teruk ini supaya tak mengadili perlawanan lagi.”
“Ianya tak boleh diterima dan tidak profesional. Kami tidak boleh menerima apabila ada di kalangan rakan-rakan kami dalam arena bola sepak ini menyatakat ayat ofensif seperti itu sebagai luar biasa.”
“Dalam tugasan kami, kami harus sentiasa seimbang, manakala seorang wartawan pula, mereka adalah figura awam, mereka ada hak. Tetapi jangan lupa, mereka juga ada tanggungjawab.”
“Situasi seperti ini tidak boleh diterima. Pengadil di Itali ini telah melakukan tugas mereka sebaik yang mungkin. Penggunaan dan pengenalan VAR telah membantu meningkatkan ketepatan keputusan pegadil sehingga 95%.”
“Saya tak faham kenapa protes melampau seperti ini berlaku? VAR antara senjata untuk menentang pengaturan perlawanan.”
Bulan lalu, seramai 1,000 orang penyokong Lazio berhimpun di luar Pejabata AIA membantah VAR yang mereka sifatkan satu malapetaka. Dalam sidang media selepas insiden protes itu, jurulatih Lazio berkata:
“Kami ada 7 mata ekstra musim ini jika tiada VAR.”
Ianya seakan-akan merestui tindakan penyokong Lazio yang protes. Dan pada Disember mereka telah mengheret pengadil perlawanan Lazio vs Torino, Piero Giacomelli dan Marco Di Bello (gambar) ke mahkamah.
Ini selepas mereka menuduh kesilapan pegadil yang membuatkan Lazio tewas 3-1. Sedangkan dalam perlawanan derbi Milano, pengadil tersebut melakukan tugas dengan sangat baik dan tiada sebarang masalah.
Nicchi bersimpati dengan Di Bello yang kini dilihat seperti sudah melakukan jenayah berat hanya kerana penyokong tak puas hati dengan keputusan beliau di dalam padang.
“Pengadil tak berikan penalti seperti satu kes berat sekarang ini. Dan kita tak pernah dengar lagi ada pemain yang disaman kerana gagal menyempurnakan penalti.”