Manchester United seperti mendapat nyawa baharu dalam usaha mereka merebut slot ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan kemenangan 2-0 ke atas Chelsea di Stamford Bridge pada pagi tadi.
Dua gol hasil tandukan Anthony Martial dan Harry Maguire memberikan kemenangan tersebut, walaupun terdapat perdebatan kapten Manchester United itu tidak sepatutnya masih berada di atas padang ketika jaringan dilakukan.
Maguire boleh dianggap bernasib baik kerana terlepas hukuman kad merah kerana dilihat menyepak pemain Chelsea, Michy Batshuyai.
Chelsea pula mempunyai dua gol pada separuh masa kedua perlawanan yang tidak dibenarkan selepas semaka VAR dilakukan.
Keputusan pada pagi tadi bermakna skuad kendalian Ole Gunnar Solksjaer hanya berada tiga mata di belakang Chelsea di kedudukan keempat, dan dua mata di belakang Tottenham Hotspur di tangga kelima.
Chelsea memulakan perlawanan dengan penuh bertenaga dan hampir mendahului United seawal minit keenam, menyaksikan percubaan Reece James tersasar.
Minit ke-20 perlawanan, pengadil, Anthony Taylor berada pada situasi untuk membuat keputusan setelah pertembungan Maguire dan Batshuayi.
Maguire memenangi bola di dalam keadaan 50-50, dan tergelincir di atas padang. Momentun Batshuayi menyebabkan penyerang Chelsea itu turut jatuh ke arah pemain pertahanan England itu, menyebabkan ia kelihatan seperti Maguire menyepak pemain dari Belgium tersebut.
Taylor tidak mengambil apa-apa tindakan, dan ramai berpendapat Maguire bernasib baik kerana terlepas hukuman dari pengadil dalam insiden tersebut.
Willian kemudiannya menerima kad kuning daripada Taylor kerana simulasi walaupun ia kelihatan seperti ada sentuhan dari Bruno Fernandes.
Selepas itu United berada di hadapan selepas Anthony Martial berjaya mengatasi Andreas Christensen untuk menyempurnakan hantaran lintang Aaron Wan-Bissaka.
Tidak berdiam diri, Chelsea tampil lebih agresif pada babak kedua perlawanan, dan voli Kurt Zoma hasil dari sepakan percuma berjaya menewaskan David de Gea.
Gol tersebut tidak dibenarkan oleh VAR selepas mengesan pemain muda United, Brandon Williams dikasari oleh Cesar Azpilicueta.
Kemudian pada minit ke-66, giliran Maguire pula mencetak nama sebagai penjaring selepas menyempurnakan sepakan sudut Bruno Fernandes – untuk bantuan gol pertama pemain baharu dari Sporting Lisbon itu.
Eric Bailly kemudiannya menampilkan aksi cemerlang untuk menafikan Mateo Kovacic, tetapi tidak boleh berbuat apa-apa dengan gol tandukan Olovier Giroud.
Sekali lagi VAR membatalkan jaringan pemain dari Perancis itu atas dakwaan offside.
Pemain yang dipinjam dari kelab China, Odion Ighalo kemudiannya dimasukkan pada minit akhir perlawanan, dan pemain antarabangsa Nigeria itu hampir memberikan impak segera dengan percubaan yang pantas diselamatkan oleh Caballero.
Namun ia tidak penting lagi kerana United sudah memperolehi tiga mata berharga yang diperlukan.