Bekas pemain Manchester United, Robin Van Persie menganggap Manchester United sudah jauh terpesong daripada landasan yang dibina oleh Sir Alex Ferguson.
Van Persie menjadi pundit baharu BT Sports. Beliau memberikan pandangan tentang keadaan semasa di Manchester United.
Van Persie merasakan sejak pemergian Sir Alex Ferguson, Manchester United semakin kurang digeruni di atas padang. Mereka mulai melupakan falsafah yang telah ditetapkan oleh Alex Ferguson. Lantas Van Persie berharap Man. United dapat membentuk filosofi bola sepak yang baharu untuk kelab – agar mereka bangkit semula dan kembali ke zaman kegemilangan.
Bercakap kepada Goal, Van Persie berkata: “Banyak yang berubah di Man. United selepas pemergian Alex Ferguson. ”
“Manchester United terlalu banyak menggunakan media sosial. Itu pandangan mereka, hak mereka, kelab mereka, jadi mereka boleh buat apa sahaja mereka suka.”
“Sir Alex jenis ‘old school’. Beliau katakan ‘tidak’ kepada media sosial. Ini kerana sebagai pemain bola sepak, tugas kamu adalah bermain bola sepak. Bukannya terlalu sibuk dengan perkara-perkara komersial.”
“Kemudiannya, anda mendapati lebih banyak perkara komersial dan media sosial. Saya tidak mengatakan itu perkara yang buruk. Ini kerana jika anda lihat sekarang, bagaimana dunia berputar, media sosial membolehkan anda berhubung dengan peminat anda, tetapi ia berubah.”
“Mereka secara tak langsung, telah menjauhkan diri mereka daripada dahagakan kejayaan. Mungkin ada sesetengah orang ada pandangan lebih kasar – tentang apa berlaku selepas era Sir Alex.”
Van Persie juga mendapati Man. United mulai melakukan apa yang seteru mereka dahulu lakukan, dan ketika itu mereka anggap itu satu kelemahan. Misalnya terlalu kerap menukar pengurus. Sedangkan dahulu Man. United sangat setia dan memberikan sokongan kepada pengurus mereka.
Seterusnya para pemain disogok dengan kemewahan.
Lantas Van Persie mahukan perubahan dilakukan segera. Beliau berharap kelab akan memberikan sokongan terutama sekali dari segi masa kepada Ole Gunnar Solskjaer.
“Bagaimana kamu menilai sesuatu kejayaan? Jika kamu bermain untuk Manchester United anda ada penanda aras yang tinggi. Namun agak sedih memikirkan kita tidak memenangi beberapa piala sejak Sir Alex bersara.”
“Ya mereka menang Europa. Oleh kerana mereka tidak dapat memenangi liga dalam beberapa musim ini, jadi kejayaan itu boleh berlaku. Mereka bersaing dengan pasukan-pasukan yang hebat seperti Manchester City, Liverpool, Chelsea dan Arsenal. Jadi ianya bukan mudah.”
“Adakah anda menilai kejayaan berdasarkan kegagalan memenangi Liga Perdana atau, adakah anda menilai mereka kerana mereka telah memenangi beberapa trofi beberapa tahun ini?”
“Adakah anda menilai mereka dari segi, tidak bermain dengan bola sepak menyerang yang cukup? Apakah kayu pengukur anda, bagaimana anda melihatnya?
“Manchester United sepatutnya pasukan yang sentiasa bermain bola sepak menyerang. Mereka harus bermain dengan pemain sayap yang kreatif, yang akan mencetuskan berlakunya sesuatu. Bermain dengan No.10 dalam peranan gaya Rooney, yang akan mencipta dan menjaring gol, bergerak dari kotak ke kotak.”
“Itulah pendapat saya, itu cara saya mahu lihat pasukan ini serta semua pasukan teratas bermain m”
“Anda perlu sedar bahawa hanya ada beberapa trofi yang direbut, dan anda mungkin memenangi kesemuanya. Oleh itu jangan terlalu menilai berdasarkan trofi.”
“Jika anda melihat City dan Liverpool, bagaimana mereka bermain, anda boleh melihat falsafah jurulatih yang jelas, bermain daripada idea – bermain bola sepak menyerang. Itulah perkara yang saya lihat di Liverpool dan City sekarang. Dan itu juga yang sepatutnya menjadi sasaran Manchester United.”
“Bukan sekadar trofi, tetapi filosofi. Dan kini pasukan ini di bawah kendalian Solskjaer. Saya juga rasa mereka memberikan sokongan kepada beliau. Solskjaer jurulatih yang sukakan taktik menyerang, beliau sukakan ciptaan peluang dan percubaan ke arah gol berterusan. Berikan beliau masa untuk membangunkan pasukan ini.”