Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA) akhirnya telah memilih untuk melantik Bert van Marwijk sebagai ketua jurulatih Australia yang baharu untuk kempen Piala Dunia 2018 yang akan berlangsung di Rusia.
Pada Disember lalu, FFA telah mengumumkan satu panel khas untuk melantik ketua jurulatih yang baharu yang turut disertai tiga generasi emas Australia, iaitu Mark Bresciano, Stan Lazaridis dan Mark Schwarzer.
Turut berada di dalam senarai panel tersebut adalah ketua prestasi FFA, Luke Casserly, penolong jurulatih, Ante Milicic, pengarah teknikal kebangsaan FFA, Eric Abrams dan ketua pegawai perubatan, Dr Mark Jones.
FFA secara rasmi telah mengumumkan van Marwijk pada Khamis dengan kontrak jangka pendek serta dijangka kontrak jangka panjang akan ditawarkan dalam masa terdekat, sekurang-kurangnya selepas Piala Dunia.
Van Marwijk adalah antara calon utama untuk jawatan tersebut dan telah bersaing bersama Graham Arnold, Jurgen Klinsmann, Slaven Bilic, Marcelo Bielsa serta Louis van Gaal.
Van Marwijk pernah membimbing Belanda sehingga ke pentas akhir Piala Dunia 2010 menentang Sepanyol yang berakhir dengan Belanda tewas 0-1, dalam aksi masa tambahan.
Terbaharu, dia telah berjaya membawa Arab Saudi layak ke Piala Dunia 2018, selepas kali terakhir dilakukan pada 2006. Dia kemudian mengumum melepaskan jawatannya itu.
Untuk rekod, Van Marwijk merupakan jurulatih ketiga daripada Belanda yang mengendalikan skuad ‘Socceroos’ selepas Guus Hiddink and Pim Verbeek.
Menurut Daily Telegraph, pelantikannya adalah terbaik – pada masa yang tepat dan pada harga yang betul. Ini kerana, FFA ketika ini sedang mengalami masalah kekangan kewangan.
FFA dilaporkan hanya mampu menawarkan kontrak dalam lingkungan $1 juta untuk jangka masa lima bulan dengan bonus berjumlah $500,000, jika Australia mampu layak ke pusingan kedua Piala Dunia.
Dan disebabkan kekangan kewangan itu, FFA terpaksa melupakan khidmat Jurgen Klinsmann, Louis van Gaal dan Marcelo Bielsa yang dikhabarkan mempunyai ‘tanda harga’ yang tinggi.
Menurut pengerusi FFA, Steven Lowy, pelantikan van Marwijk adalah berkelas dunia. Selain pernah membimbing skuad Piala Dunia Belanda, dia juga sangat mengenali para pemain Australia.
“Dia membawa Belanda ke final Piala Dunia 2010, dia juga memimpin Arab Saudi layak ke Piala Dunia tahun ini, dan paling penting, dia sangat mengenali pemain-pemain kami dan cara permainan kami.
“Ini kerana, dia telah mempelajari mereka secara dekat sebagai jurulatih pasukan lawan yang bersaing bersama-sama ketika dalam peringkat kumpulan,” ujar Lowy.
“Pengalaman-pengalaman tersebut menjadikannya sebagai pilihan yang sangat menarik,” tambah Lowy lagi mengenai jurulatih berusia 65 tahun itu.
Sementara itu, van Marwijk dijangka akan membawa masuk lagenda Belanda yang juga merupakan menantunya, Mark van Bommel selaku pembantunya.
Baginya, pelantikan tersebut penting kerana van Bommel pernah bekerja bersamanya ketika di Arab Saudi dan mereka telah serasi bersama.
“Saya mahu Mark untuk bersama saya. Saya telah bekerja bersamanya selama dua tahun di Arab Saudi dan saya juga kerap melihatnya melatih skuad B-19 PSV Eindhoven,” jelas van Marwijk.
Tugas pertamanya adalah aksi persahabatan menentang Norway pada 23 Mac dan Colombia, empat hari kemudian. Untuk Piala Dunia, Australia akan membuka tirai menentang Perancis pada 16 Jun.