Bekas penyerang kebangsaan Indonesia iaitu Sergio Van Dijk meluahkan keyakinan mengenai prestasi semasa negara tersebut dianggap mampu meraih keputusan positif pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026.
Menurut Van Dijk, beliau tampil optimis Sang Garuda mampu meraih kemenangan dalam Kumpulan C bagi pusingan ketiga kejohanan tersebut dengan mengatasi cabaran Bahrain serta China.
Skuad kendalian Shin Tae-yong bakal menghadapi cabaran Bahrain di tempat lawan pada 11 Oktober ini sebelum ke Stadium Bola Sepak Qingdao untuk mrnghadapi salah satu kuasa besar bola sepak Asia, China beberapa hari kemudian.
Momentum semasa Sang Garuda ketika ini boleh dianggap cukup baik selepas mereka berjaya melayakkan diri ke pusingan ketiga buat pertama kali serta secara automatik melangkah ke saingan Piala Asia akan datang.
Selepas mengharungi dua perlawanan di pusingan tersebut, Indonesia telah pun meraih dua keputusan seri sewaktu bertemu Arab Saudi serta Australia bersama prestasi cukup membanggakan.
Kedudukan semasa Kumpulan C menyaksikan pasukan itu berada di tangga keempat dengan dua mata secara keseluruhan telah diraih serta hanya dibezakan satu mata sahaja bersama Bahrain di tempat ketiga.
Disebabkan itu Van Dijk meluahkan keyakinan mengenai prestasi semasa Indonesia kini mampu menjulang pasukan tersebut meraih kemenangan mengatasi Bahrain serta China.
Menurut bekas pemain Persib Bandung itu, prestasi semasa anak-anak buah Shin sangat baik dan mempunyai peningkatan dalam permainan.
Penampilan positif ditampilkan itu dianggap bakal menjadi kunci utama kekuatan pasukan tersebut untuk meraih kemenangan serta membanggakan para penyokong.
“Jika kita lihat kembali aksi terakhir Sang Garuda sewaktu bertemu Arab Saudi dan Australia, saya yakin Indonesia pasti mampu meraih kemenangan atasi Bahrain.
“Pada pandangan saya, Indonesia bakal meraih kemenangan 2-1 menentang Bahrain. Aksi bertemu China juga saya yakin kita boleh menang selepas aksi akhir ditampilkan negara itu kurang menyakinkan,” ujar beliau menerusi Enam Plus.
Ketika ini, Sang Garuda sedang diperkuatkan oleh barisan pemain warisan yang berkualiti dan berjaya memberi impak besar terutama daripada segi corak permainan ditampilkan untuk memberi cabaran sengit kepada lawan.
Pemain baharu seperti Mees Hilgers dan Eliano Reijnders dianggap mampu memberi impak tambahan buat Shin untuk merancang taktikal lebih ampuh di atas padang.