Edwin van der Sar menolak kemungkinan untuk beliau kembali menyertai Manchester United sebagai Pengarah Teknikal.
Bekas penjaga gol Manchester United itu kini adalah Ketua Pengarah Ajax, pernah membantu bekas pasukannya itu menjuarai satu kejuaraan UEFA Champions League, dan empat gelaran Liga Perdana Inggeris.
Van der Sar dilaporkan menjadi sasaran utama hierarki di Old Trafford sebagai Pengarah Teknikal dan akan bertanggungjawab dalam membuat saringan sebelum membawa masuk pemain yang sesuai dengan profail kelab.
Ia sekaligus akan memperbaharui sistem pencarian bakat pasukan Manchester itu, dan struktur pembelian pemain di masa hadapan.
Namun Van der Sar menganggap laporan tersebut sebagai mengarut dan menegaskan beliau tetap komited dengan tugas beliau bersama Ajax- di mana beliau dengan jayanya melakukan pembelian pemain, dan juga menjual pemain berpotensi di pasaran eropah.
“Saya ada melihatnya dalam laporan di media beberapa minggu yang lalu, tetapi ia laporan yang tidak mempunyai asas,” ujar Van der Sar kepada program mingguan Inside Ajax di Ziggo Sport yang disiarkan di Belanda pada Jumaat lalu.
“Saya ada kontrak dua tahun di sini. Ajax adalah kelab pertama saya, dan saya mahu kekal lebih lama di sini. Kejayan yang kami mahukan, dan apa yang kami mahu capai di sini amat menarik,” tambah beliau lagi.
Minggu lalu Sky Sports turut melaporkan Manchester United turut mempertimbangkan Pengarah Teknikal FA, Dan Ashworth dan Ketua Pembelian Pemain RB Leipzig, Paul Mitchell sebagai dua lagi calon berpotensi untuk jawatan tersebut.
Sky Sport turut melaporkan perlantikan seorang pengarah teknikal oleh Manchester United tidak akan dilakukan secara terburu-buru, dan akan mengambil masa sehingga calon yang benar-benar berkelayakan ditemui.
Sejak menyertai Ajax pada 2014, Van der Sar telah melepaskan beberapa pemain seperti Jasper Cillessen ke Barcelona, Davinson Sanchez ke Tottenham Hotspur, dan yang terbaru Justin Kluiver ke Roma.