Pengurus Barcelona, Ernesto Valverde tidak bersetuju dengan pendapat Jurgen Klopp, dan menyifatkan komen pengurus Liverpool itu sekadar untuk ‘menyejukkan keadaan’ menjelang aksi separuh akhir pertama UEFA Champions League pada awal pagi nanti.
Nou Camp adalah stadium bola sepak terbesar di Eropah dengan kapasiti 99,000, namun hakikatnya ia tidak mempunyai reputasi sama untuk menghasilkan sokongan seperti yang dilakukan oleh penyokong Liverpool di Anfield.
Dalam satu temuramah bersama media penyiar DAZN, Klopp berkata pemain beliau seharusnya tidak perlu terlalu risau kerana beraksi di Nou Camp.
“Nou Camp hanya sebuah stadium. Ianya [stadium] yang besar, tetapi ia bukan sebuah kuil bola sepak.” ujar Klopp.
Terma kuil bola sepak yang digunakan oleh Klopp merujuk kepada arena di mana atmsofera perlawanan itu benar-benar panas dan tegang disebabkan kehadiran penyokong pasukan lawan.
Namun demikian Valverde berpendapat sebaliknya dan yakin penyokong Barcelona akan datang menggamatkan Nou Camp untuk membantu pasukan kendalian beliau layak ke perlawanan akhir pertama sejak empat musim lalu.
“Penyokong kami di Nou Camp sudah pun memainkan peranan mereka pada musim ini. Lebih 90,000 penyokong hadir dalam beberapa perlawanan lalu, dan sudah tentu pemain merasakan kehadiran mereka ketika beraksi,” ujar Valverde dalam sidang media menjelang hari perlawanan.
“Kami menjangkakan perkara yang serupa esok [awal pagi Khamis, waktu Malaysia]. Dan kami yakin penyokong akan hadir untuk memberikan sedikit kelebihan, sama seperti apa yang Liverpool miliki di Anfield. Saya berpendapat Klopp sengaja berkata demikian untuk ‘menyejukkan’ sedikit situasi menjelang perlawanan, kerana ia masih seperti salah satu perlawanan seperti yang lain.”
Pemain tengah Barcelona, Ivan Rakitic pula berkata: “Kami menghormati pendapat Klopp, tetapi ianya tidak sama apabila beraksi di Nou Camp, Ia sangat istimewa. Kami tidak peduli sama ada ia adalah kuil atau tidak. Saya sendiri suka beraksi di Nou Camp setiap minggu,” ujar beliau dalam sidang media yang sama.