Francesco Totti bukan sahaja memberi impak kepada komuniti bola sepak dunia, malah kepada sukan-sukan lain juga. Paling terbaru, impak bekas kapten lagenda AS Roma ini bakal meresap masuk dalam arena MotoGP pada hari Ahad ini.
Dalam post laman Facebooknya, Valentino Rossi mengumumkan beliau akan memakai topi keledar khas untuk memberi tribute (penghormatan) kepada Totti.
Topi keledar pelumba lagenda MotoGP ini akan memaparkan grafik kartun dirinya yang memakai jersi Itali, bersedia untuk mengambil sepakan penalti dan berkata:
“Mo je faccio er cucchiaio” (“Lihat bagaimana saya akan chip sepakan ini”)
Untuk pengetahuan anda, ungkapan kata tersebut pernah disebut oleh Totti semasa penentuan penalti dalam perlawanan separuh akhir EURO 2000 menentang Belanda. Penjaga gol Belanda pada ketika itu adalah Edwin van der Sar.
Selain itu, mesej “Un Capitano… C’è solo un Capitano!” (“Seorang kapten…hanya ada seorang kapten”) beserta bendera Itali juga akan terpapar di belakang helmet Rossi pada hari perlumbaan Ahad ini.
Di tepi topi keledarnya, Rossi turut merakamkan penghormatan kepada bekas pelumba MotoGP kelahiran Amerika Syarikat, Nicky Hayden yang terkorban dalam nahas jalan raya baru-baru ini.
Nombor 46 yang sinonim dengan Rossi kelihatan bergabung dengan nombor 69 yang sinonim dengan Hayden.
Sebagai rekod, Rossi yang mewakili pasukan Movistar Yamaha akan bermula dari petak ke-2 dalam siri perlumbaan MotoGP di Mugello, Itali pada hari Ahad ini.
Di luar waktu latihan dan perlumbaan, Rossi gemar menonton perlawanan bola sepak. Semasa kecil, Rossi menyokong Sampdoria sebelum beralih menyokong Inter Milan.
“Saya menjadi penyokong Inter selepas kedatangan Ronaldo. Semasa kecil, saya menyokong Sampdoria kerana menyukai [Gianluca] Vialli dan [Roberto] Mancini,” dedah Rossi kepada Goal.com dalam satu temuramah pada tahun 2008.
“Apabila Ronaldo datang, saya jadi lebih berminat menyokong Inter Milan.”