Laos membuat kejutan apabila melantik bekas pengendali Singapura, V. Sundramoorthy sebagai ketua jurulatih mereka yang baharu menjelang kejohanan AFF Suzuki 2018, November depan.
Pernah bergelumang dalam saingan Liga Malaysia bersama Lions XII dan Negeri Sembilan, Sundramoorthy mungkin sudah masak dengan kemampuan pemain skuad kebangsaan Malaysia.
Ini adalah peluang buat Sundramoorthy untuk memperbaharui permusuhan dengan Malaysia apabila Laos diundi dalam Kumpulan A bersama Malaysia, Vietnam, Myanmar dan Kemboja.
Ketua jurulatih berusia 53 tahun itu sebelum ini pernah membimbing skuad kebangsaan Singapura untuk tempoh 2 tahun sebelum memutuskan untuk mengangkat kaki pada April 2018.
Ia dikatakan akibat kritikan tidak putus-putus daripada para penyokong yang mengatakan Singapura gagal beraksi baik di bawah kendaliannya, menang 3 daripada 23 perlawanan.
Majoriti penyokong dan juga media Singapura melontar kritikan mengenai pendekatan taktikal bertahan Sundramoorthy yang dilihat gagal. Singapura tetap bolos 39 gol dalam 23 perlawanan.
Kini, bersama Laos adalah peluang keemasan buat Sundramoorthy untuk kembali memperbaiki reputasinya selaku jurulatih yang berkaliber sebagaimana ketika bersama Lions XII dahulu.
“Saya berbangga apabila dilantik sebagai ketua jurulatih Laos. Saya tiba di sini 3 hari lalu dan telah mula bertugas melatih para pemain, di mana kami memiliki ramai pemain muda tetapi sangat dinamik.
“Saya juga telah menilai kekuatan dan kelemahan pasukan menjelang Piala AFF Suzuki 2018,” jelasnya yang dipetik daripada laman sesawang Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF).
Sementara itu, Pengarah Teknikal Persekutuan Bolasepak Laos (LFF) yang juga berasal daripada Singapura, Mike Wong sangat gembira apabila berjaya mendapatkan khidmat Sundramoorthy.
Dipetik bercakap kepada Fox Sports Asia, Mike Wong menyatakan yang Sundramoorthy adalah orang yang tepat untuk kembali memacu Laos dalam mencipta langkah yang lebih besar.
“Laos kini memiliki jurulatih terbaik, yang ada pendedahan antarabangsa dengan kontrak selama 3 tahun. Ini akan menstabilkan pasukan dan satu langkah besar buat pasukan.
“Sundramoorthy juga sangat mengenali lawan-lawan serantau dan dia pasti akan membantu generasi muda Laos bersedia untuk skuad kebangsaan,” jelas Mike Wong.
Laos akan melalui satu lagi aksi persahabatan antarabangsa sebelum bermulanya saingan Piala AFF Suzuki 2018 iaitu menentang Mongolia pada 16 Oktober ini di Vientiane, Laos.