Quantcast

BERITA

Usmon Toshev Jangkakan Satu Perlawanan Menarik Antara Malaysia-Tajikistan

Pengendali Tajikistan, Usmon Toshev mengatakan di dalam sidang media pra perlawanan persahabatan Malaysia-Tajikistan kelmarin yang beliau sudah biasa dengan suasana di Malaysia dan telah melihat perkembangan bola sepak di sini sejak beberapa tahun.

“Atas urusan kerja, saya kerap berada Malaysia dan saya sudah biasa dengan perkembangan bola sepak di negara ini.

“Kami juga telah melihat permainan Malaysia menentang Vietnam dalam aksi kelayakan sebelum ini dan saya sukakannya. Malaysia adalah pasukan yang bagus dan pantas. Saya jangkakan ia satu perlawanan yang menarik esok [hari ini],” jelas Usmon Toshev.

Walaupun berada di kedudukan ranking yang jauh lebih baik berbanding Malaysia, pengendali berusia 54 tahun itu masih berhati-hati dengan cabaran yang mampu dihadirkan oleh Malaysia dalam aksi pemanas badan pada malam nanti.

Berbanding Malaysia yang berada di kedudukan ke-158 dunia, Tajikistan pula menduduki ranking ke-116 dunia.

Usmon Toshev menambah lagi yang perlawanan ini adalah satu persediaan terbaik buat mereka sebelum perlawanan kelayakan menentang Myanmar di Yangon pada 14 November depan.

Tajikistan berada di dalam Kumpulan F, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bersama Myanmar, Jepun, Kyrgyzstan dan Mongolia. Selepas tiga perlawanan, mereka berada di kedudukan ke-3 di belakang Jepun dan Kyrgyzstan dengan meraih enam mata daripada dua kemenangan ke atas Kyrgyzstan dan Mongolia.

“Ia perlawanan yang penting esok [hari ini] kerana sebelum turun menentang Myanmar, saya mahu melihat keadaan pemain saya dan bagaimana mereka akan menyesuaikan diri dengan cuaca di sini. Cuaca di sini [Malaysia] agak sama dengan di Yangon.

“Saya akan bereksperimen dengan beberapa perkara dan kita juga membawa beberapa pemain baharu kali ini. Saya mahu melihat bagaimana aksi mereka dan pada masa yang sama, kami mahu melakukan yang terbaik [untuk perlawanan ini],” tambahnya.

Untuk rekod, Malaysia pernah bertemu Tajikistan dalam aksi persahabatan pada Ogos 2014 yang menyaksikan Malaysia tumbang 1-4 di Dushanbe, Tajikistan. Gol tunggal Malaysia dijaringkan oleh Amri Yahyah menerusi sepakan penalti.

Kredit Featured Image: Tajikistan FF