Walaupun sudah bersara sebagai pelari pecut, Usain Bolt masih menjadi tumpuan pihak berkuasa anti-doping setelah penglibatannya secara aktif dalam bola sepak.
Seperti yang diketahui umum, manusia terpantas di dunia itu kini sedang menjalani sesi latihan bersama kelab A-League, Central Coast Mariners serta turut menjaringkan dua gol pada perlawanan persahabatan bertemu Macarthyr South West beberapa hari lalu.
Namun begitu, Bolt yang masih belum menandatangani kontrak sebagai pemain profesional kelab tersebut nyata terkejut dengan notis ujian doping yang diberikan Australian Sports Anti-Doping Authority terhadapnya.
”Saya telah mengumumkan persaraan daripada sukan trek dan padang, dan mahu menjadi seorang pemain bola sepak tetapi lihatlah ini (sambil menunjukkan notis tersebut dalam ‘instagram story’ milik beliau).”
”Bagaimana saya boleh menjalani ujian doping hari ini? Saya masih belum lagi menjadi pemain bola sepak profesional,” ujar Usain Bolt lagi.
”Jadi saya bertanya kepada wanita itu, ‘kenapa saya perlu untuk menjalani ujian doping walaupun saya masih belum lagi menandatangani kontrak bersama kelab?”
”Dan dia berkata mereka memberitahu bahawa saya merupakan atlet elit, jadi saya perlu untuk diuji.”
Jika dilihat langkah yang diambil pihak berkuasa tersebut, mereka seperti mahu memastikan agar Bolt tidak mengambil sebarang bahan terlarang.
Foto: Hypebeast