Quaterfinalis Piala Dunia 2018, Uruguay mudah mengatasi Thailand 4-0 untuk mempertahankan Piala China yang dimenangi mereka pada edisi lalu di Pusat Sukan Guangxi, Nanning, malam tadi.
Lebih manis, pertahanan, Diego Godin yang mengetuai Uruguay untuk aksi tersebut telah menjadi pemain terbanyak penampilan bersama skuad kebangsaannya dengan meraih kaps ke-126.
Dikeluarkan pada minit ke-70, Godin akhirnya berjaya mengatasi rekod yang dipegang oleh seorang lagi pertahanan veteran, Maxi Pereira yang telah meraih 125 penampilan antarabangsa.
Thailand tampak bergelut berdepan dengan lawan yang fizikal seperti Uruguay dan sudah ketinggalan seawal minit ke-6 perlawanan hasil tandukan pemain tengah, Matias Vecino.
Gaston Pereiro kemudian menjadikan kedudukan 2-0 kepada La Celeste sebelum rehat babak pertama selepas menerima hantaran rendah Cristhian Stuani dari sayap kiri.
Minit ke-57, anak buah Oscar Tabarez menambah derita Gajah Perang apabila giliran Stuani pula menjadi penjaring seterusnya hasil tandukkannya menewaskan Siwarak Tedsungnoen di gawang.
Melepaskan 3 gol, pengendali Thailand, Sirisak Yodyardthai membuat pertukaran penjaga gol dengan memasukkan Chatchai Budprom untuk menggantikan Tedsungneon.
Penyerang, Maximiliano Gomez akhirnya meledak gol ke-4 dan terakhir buat Uruguay di minit ke-88 untuk memberikan kemenangan dan menjulang Piala China buat kali kedua.
Ini merupakan edisi ketiga kejohanan Piala China yang telah dianjurkan oleh Persatuan Bolasepak China (CFA) bermula pada tahun 2017, dimana Chile merupakan juara pertama.
Selaku penganjur, China masih belum berjaya melangkah ke final sehingga kini dan untuk edisi kali ini, China tewas dalam kedua-dua aksi – semifinal dan penentuan tempat ke-3 dan ke-4.
Skuad kendalian Fabio Cannavaro itu gagal menyamai pencapaian edisi lalu apabila tewas pula kepada Uzbekistan dengan keputusan 0-1 dalam perlawanan yang dimulakan lebih awal.
Untuk rekod, Cannavaro masih baru dilantik selaku pengendali skuad Naga bermula pada 15 Mac yang lalu dan sepertimana kenyataannya, Piala China bukan penentu masa depan kerjayanya.
Kali terakhir mereka meraih kemenangan adalah dalam saingan Piala Asia 2019 pada Januari yang lalu ketika menundukkan Thailand 2-1 dan kini melalui 3 kekalahan berturut-turut.