Menurut laporan Calciomercato, pemain sayap Roma, Justin Kluivert dikatakan semakin hampir untuk menyarung jersi Arsenal bagi saingan musim hadapan.
Walaupun kelab Serie A itu ketika ini berada di kedudukan ke-5 liga, namun prestasi kewangan mereka sangat meruncing sehingga terpaksa mencari pemilik baharu sejak penghujung tahun lalu. Terbaru, mereka menolak bidaan bernilai hampir £518 juta.
Roma perlukan duit
Bulan lalu, AS Roma mengumumkan hutang mencecah €200 juta dan mungkin dengan penjualan beberapa pemain akan membantu kedudukan kewangan mereka. Beberapa pemain dikatakan akan dijual termasuk Justin Kluivert dan Nicolo Zaniolo.
Menurut laporan tersebut, anak lagenda Belanda, Patrick Kluivert itu dikatakan telah ditawarkan kontrak empat tahun dengan gaji dua kali ganda daripada yang diterima di Giallorossi. Parbincangan antara kedua-dua pihak telah lama berlangsung.
Jika segalanya berjalan lancar, Roma akan menerima yuran perpindahan sebanyak £35 juta untuk pemain berusia 21 tahun itu, tetapi Arsenal akan cuba mengurangkan sedikit nilai tersebut dengan menawarkan pemain mereka, Henrikh Mkhitaryan.
Mkhitaryan ketika ini berada di Roma secara pinjaman sepanjang musim dan telah beraksi sebanyak 13 kali dan meledak enam gol serta tiga bantuan gol buat mereka. Menurut Corriere Dello Sport, pengendali, Paulo Fonseca cenderung untuk bersetuju.
Pedro untuk ganti Justin Kluivert
Kedua-dua kelab tidak akan berbelanja besar untuk mendapatkan pemain dengan masalah kewangan yang melanda akibat pandemik ketika ini dan pertukaran pemain dilihat paling memungkinkan untuk perpindahan berlaku pada jendela perpindahan.
Justin Kluivert dikatakan masih gagal untuk menemui rentaknya sebagai pemain muda berbakat besar sejak tiba dari Ajax dan dalam 27 penampilannya bersama Giallorossi hingga kini, beliau telah meledak tujuh gol – hanya satu gol pada musim lalu.
Roma juga dilaporkan memerlukan sedikit dana untuk membawa masuk Pedro dari Chelsea yang akan tamat kontrak pada penghujung musim ini. Pemain ini dikatakan akan lebih membantu Roma berbanding sumbangan oleh Kluivert ketika ini.
Walaupun sedikit berusia iaitu berumur 33 tahun, kemampuan Pedro untuk beraksi di beberapa posisi terutamanya di jentera hadapan telah menarik minat Fonseca dengan pengalaman luasnya memenangi kejuaraan bersama Chelsea dan Bercelona.
Kluivert pemain yang sesuai buat Gunners
Menurut laporan TBR, Kluivert adalah pemain yang sesuai untuk berada di Arsenal dan juga sesuai dengan keinginan pengendali, Mikel Arteta yang menyukai dan memberi peluang kepada bakat muda sejak menyertai The Gunners pada Disember lalu.
Pemain-pemain muda seperti Joe Willock, Bukayo Saka, Reiss Nelson, Eddie Nketiah dan Gabriel Martinelli telah mendapat peluang untuk turun beraksi dalam skuadnya, malah baru-baru ini beliau menyatakan yang Bukayo Saka sangat penting buatnya.
Kluivert juga masih muda namun kelebihan pemain sayap ini adalah pengalamannya bersama skuad utama sejak di Ajax dan kemudian Roma memberikannya kelebihan. 118 penampilan bersama skuad utama dan berusia 21 tahun, ianya sangat baik.
Pengendali berasal dari Sepanyol itu sebelum ini pernah menyatakan yang beliau akan cuba mendekatkan jarak antara skuadnya dengan Man City dan Liverpool dengan mendapatkan pemain yang akan membaiki persembahan di posisi bermasalah.
Penutup
Adakah perjanjian pertukaran pemain antara Roma dan Arsenal ini akan mencapai kata sepakat? Dengan Chelsea sedang berbelanja besar dengan membawa masuk pemain yang boleh meningkatkan penanda aras buat mereka, Arsenal perlu bertindak.
Jika tidak, bukan hanya Man City dan Liverpool akan jauh meniggalkan Arsenal dalam persaingan musim hadapan, skuad kendalian Frank Lampard juga dilihat akan berpotensi untuk memberikan saingan yang lebih baik berbanding pada musim ini.
KREDIT FEATURED IMAGE: GETTY IMAGES