UNL 2020: Jaringan Mount ‘Hadiahkan’ Kekalahan Sulung Buat Belgium

Belgium

England menebus kehampaan dua kali tewas di tangan Belgium dalam kejohanan Piala Dunia 2018 apabila berjaya menundukkan pasukan ranking pertama ranking dunia itu hasil kemenangan 2-1 di Wembley, malam tadi.

Kemenangan tersebut juga menyaksikan skuad kendalian Gareth Southgate itu kini menghuni tangga teratas kempen UEFA Nations League (UNL) 2020 bagi saingan kumpulan 2 dengan tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu keputusan seri.

Belgium bagaimanapun hampir berada di hadapan seawal mini ke-10 perlawanan apabila Yannick Carrasco meledakkan rembatan yang berjaya menewaskan penjaga gol England, Jordan Pickford tetapi pemain pertahanan, Timothy Castagne terlebih dahulu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Kehampaan itu ditebus Romelu Lukaku berselang enam minit kemudian selepas beliau menyempurnakan sepakan penalti susulan kekasaran dilakukan Eric Dier terhadapnya dalam kawasan penalti The Three Lions.

Lukaku jelas tidak berdepan sebarang masalah untuk menewaskan penjaga gol Everton yang gagal mengagak rembatannya dengan baik bagi membuka tirai jaringan.

Kesilapan dilakukan Thomas Meunier dihukum England apabila kekasaran dilakukannya terhadap Jordan Henderson membolehkan England pula dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan, Tobias Stieler dari Jerman.

Peluang yang terhidang itu digunakan sepenuhnya Marcus Rashford untuk kembali mengikat kedudukan pada minit ke-39.

Ketika permainan memasuki minit ke-65, percubaan daripada Mason Mount yang membias terkena kaki Toby Alderweireld melambung cantik masuk ke dalam pintu gol Belgium dan hanya mampu dilihat penjaga gol, Simon Mignolet untuk gol kedua buat England.

Kedudukan tersebut kekal hingga tamat permainan untuk memberikan kemenangan kedua buat England manakala Belgium pula tewas buat kali pertama dalam saingan kali ini.

Kredit featured image: Michael Regan/Getty Images

Leave a Reply