Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Union Berlin: Kelab Bola Sepak Yang Hidup Dengan Darah Penyokongnya

“Penyokong mereka sanggup mendermakan darah. Kamu akan dibayar jika menderma darah di Jerman. Wang yang diterima itu mereka gunakan untuk pastikan kelab terus hidup.”

Itulah kata-kata seorang wartawan sukan Jerman, Jacob Sweetman untuk menggambarkan pengorbanan yang sanggup dilakukan penyokong Union Berlin untuk memacu pasukan mereka melakar sejarah.

Pada bulan Mei tahun ini, mereka muncul kelab pertama dari timur Berlin yang menyertai saingan liga tertinggi di Jerman iaitu Bundesliga. Sabtu ini, mereka akan berdepan pasukan jiran mereka, Hertha Berlin yang berpangkalan di barat bandar tersebut.

Sebelum ini, tidak pernah berlaku perlawanan Bundesliga di antara dua pasukan dari timur dan barat Berlin. Tambahan pula, satu masa dahulu apabila bandar berkenaan dipisahkan oleh Tembok Berlin, perlawanan seperti itu boleh dianggap mustahil untuk berlaku.

Selepas Perang Dunia Kedua, Jerman terbahagi kepada dua bahagian, Jerman Timur dan Jerman Barat. Jerman Timur menjadi blok komunis yang ditadbir oleh Soviet Union, manakalah Jerman Barat pula dikawal oleh kuasa sekutu kapitalis United Kingdom, Perancis dan Amerika Syarikat.

Berlin mula dipecah kepada dua bahagian pada tahun 1961. Tembok sepanjang 45 kilometer dibina untuk memisahkan bandar tersebut bagi mencegah penduduk dari bahagian yang dikawal blok Soviet berhijrah ke Jerman Barat. Tembok itu kekal sehingga tahun 1989.

Pasukan-pasukan dari Berlin Timur beraksi dalam sistem liga Jerman Timur sehinggalah penyatuan negara tersebut pada 1990 – dengan Union Berlin menjadi kelab pertama yang berjaya membuat kemunculan dalam Bundesliga.

Kelab Milik Penyokong

“Tanpa penyokong, kelab ini tidak lagi wujud” kata Sweatmann kepada Football Focus.

Union Berlin bermain di Stadium An der Alten Forsterei di kawasan kejiranan Kopenick. Gelanggang mereka pada awalnya terdiri daripada tiga bahagian dan boleh memuatkan sehingga 22,000 orang penonton.

Kelab itu berisiko kehilangan lesen pada 2008 apabila teres tempat duduk penonton runtuh,. Namun diselamatkan oleh 2,500 orang penyokong luar biasa mereka yang menawarkan diri untuk membina semula stadium itu.

“Mereka mengeluarkan belanja dari poket sendiri untuk memastikan kelab kesayangan dari keluar dari ambang kepupusan. Kamu boleh rasa auranya apabila berada di sana. Ianya milik mereka semua penyokong, bukan orang lain,” tambah Sweetman lagi.

Beliau berkata, semasa perlawanan persahabatan menentang Hertha Berlin, penyokong yang bekerja membina stadium telah memakai topi buruh berwarna merah dan pada waktu itu boleh dikatakan hampir semua penyokong sebak dan mengalirkan air mata.

“Ada satu tempoh dalam sejarah di mana kelab hampir muflis,” ujar Sweetman dan menceritakan bagaimana penyokong telah menyerahkan wang yang diterima hasil dari derma darah untuk memastikan kelab mereka terus hidup.

Christian Arbeit, ketua unit komunikasi di Union Berlin menjelaskan, kempen “Darah Untuk Union’ itu adalah hasil inisiatif penyokong mereka sendiri.

“Ini adalah satu simbol yang kuat untuk menunjukkan penyokong di sini bersedia untuk menyumbang apa sahaja,” kata Arbeit.

“Rasa cinta penyokong terhadap kelab mereka begitu utuh,” kata seorang wartawan, Rylan James.

“Pernah satu ketika, sekumpulan penyokong menjadikan stadium pasukan itu sebagai tempat untuk memberikan ucapan krismas kepada satu sama lain dan perkara itu berulang setiap tahun dan menjadi tradisi.

“Pada asalnya, terdapat sekumpulan penyokong yang kecewa selepas pasukan itu tewas dalam perlawanan terakhir sebelum sambutan krismas. Mereka pulang ke rumah dengan kehampaan. Kemudian mereka sedar yang mereka masih belum memberikan ucapan krismas kepada rakan-rakan.

“Jadi mereka bertindak menceroboh masuk ke dalam stadium dengan bekalan gluhwein (wain merah dengan hirisan lemon) dan biskut. Kemudian memberi ucapan krismas sesama mereka dan menyanyikan lagu-lagu hari natal.”

Hiburan Pasukan Adalah Sorakan Penyokong

Di stadium tiada hiburan diselit pada masa rehat separuh masa. Tiada iklan atau muzik dimainkan sepanjang perlawanan. Kelab itu tidak perlu berikan apa-apa kepada penyokong sebagai hiburan.

“Jika pasukan kami menjaringkan gol, akan berlaku ‘gegaran’ dengan bunyi yang amat bising dalam stadium,” kata Arbeit.

“Presiden kelab akan meletakkan kenderaannya di lot parkir seperti penyokong yang lain. Hubungan kami sangat erat. Para penyokong sedar mereka sentiasa dialu-alukan dan mereka boleh membawa masuk sebarang idea dan hasil kerja mereka. Mereka tahu kelab sangat menghargainya.”

Seorang penyokong Union Berlin, Ingo Petz mengatakan beliau menyokong pasukan itu kerana ianya sebuah kelab yang terdiri daripada golongan proletariat (pekerja makan gaji atau mengambil upah). Penduduknya suka minum bir dan di sana ada hubungan yang kuat dan saling mengenali antara satu sama lain.

“Perasaan seperti ini sukar digambarkan. Jika bola sepak adalah tempat untuk kamu hidupkan perasaan ini, Union adalah sebuah tempatnya. Dalam pasukan yang istimewa ini yang kamu boleh menyokong pasukan dengan menyumbang kreativiti dan idea.

“Orang yang hidup bermasyarakat akan mencari tempat yang mereka dihormati, bukan sebagai pelanggan tetapi sebagai manusia.”

Melakar Sejarah ke Bundesliga

Semasa perlawanan pertama mereka dalam saingan Bundesliga menentang RB Leipzig, penyokong membawa hampir 500 potret yang terpampang wajah penyokong-penyokong Union yang telah meninggal dunia.

“Ideanya ialah mereka yang tidak dapat ‘hadir’ ke sini diwakili oleh penyokong yang lain. Ianya saat yang sungguh beremosi. Kami ‘membawa’ rakan-rakan dan ahli keluarga ke dalam stadium sebagai penghargaan kepada mereka.” tambah Petz lagi.

Pada hari mereka sah akan dipromosi ke liga tertinggi negara tersebut, penyokong mereka menyambut dengan penuh kegembiraan.

“Jika saya melihat semula gambar-gambar pada hari kejadian, saya pasti akan mengeluarkan air mata. Amat menakjubkan untuk melihat kuasa penyokong bola sepak yang mampu membawa pasukan mereka mencapai kejayaan luar biasa.

“Penyokong sedar mereka akan menghadapi setahun yang mencabar dalam saingan Bundesliga musim ini. Kami perlu berusaha sebaik mungkin sehingga perlawanan terakhir untuk kekal di liga utama ini.”