Rakyat Malaysia mungkin sedang ditimpa demam Piala Dunia ketika ini, namun itu tidak menghalang dari unifi Liga Super diteruskan untuk hari perlawanan ke-16.
4 perlawanan dilangsungkan dengan perlawanan dua musuh tradisi antara Selangor dan Perak di Cheras mendapat liputan kami.
Anda boleh baca laporan penuh perlawanan tersebut di sini.
Terus kecundang
Pasukan Pantai Timur, Kelantan terus dihimpit pelbagai kekecewaan.
Jika sebelum perlawanan mereka dipalit dengan cerita seorang lagi pemain import disingkirkan dari pasukan, kali ini mereka tewas di padang pula.
Kelantan yang menerima kunjungan PKNS FC nyata tidak berdaya untuk menghalang kejayaan pasukan pelawat.
Mereka menerima kejutan seawal minit ke-4 menerusi Bruno Matos yang dengan kencangnya merembat bola masuk dari luar kotak penalti.
Ia merupakan jaringan pertama Matos bersama PKNS FC.
Kelantan turut mempunyai beberapa peluang terhidang di separuh masa pertama menerusi Nik Akif, namun beliau gagal menyempurnakan peluang tersebut.
Kekalahan Kelantan disahkan pada penghujung perlawanan apabila Matos sekali lagi menjaringkan gol selepas melakukan serangan balas pantas pada minit ke-86.
Di Paroi, Negeri Sembilan turut kecundang di tangan Pahang yang berusaha untuk mengurangkan defisit dengan JDT dan juga Perak.
Seperti Matos di Kota Bharu, Issey Nakajima-Farran juga tidak ketinggalan untuk menjaringkan gol menarik apabila rembatan padu dari luar kotak penalti beliau menggegar jaring pada minit ke-6!
Beliau mempunyai peluang untuk menjaringkan gol menerusi sepakan penalti di masa kecederaan separuh masa pertama tetapi rembatan penaltinya tersasar jauh.
Pada minit ke-65, Issey berhasil mendapatkan gol kedua peribadi beliau selepas tolakan bijak Norshahrul Idlan berjaya menemui beliau dan Issey dengan mudah menolak bola itu ke dalam gol.
Kemenangan Pahang disahkan oleh gol dari Norshahrul pada minit ke-72 selepas beliau menolak mudah bola dari jarak dekat.
Negeri Sembilan berhasil mendapatkan gol saguhati menerusi Faudzan Dzulkifli di penghujung perlawanan.
Gol itu terhasil menerusi tandukan terbang oleh bekas pemain PKNS FC itu.
Di Ipoh, PKNP FC melayan kunjungan Melaka United.
Shahrel Fikri meneruskan rekod jaringan baik beliau musim ini apabila menolak mudah bola ke dalam pintu gol pada minit ke-56.
Melaka United menyamakan kedudukan di minit ke-65 menerusi Lee Chang-hoon menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti.
Untuk rekod, 3 jaringan gol dari luar kotak penalti dihasilkan di 3 lokasi perlawanan Liga Super. BOOM!
Kekecewaan di minit akhir tiba buat PKNP FC apabila Ifedayo Omosuyi menjaringkan gol pada minit ke-90 untuk meranapkan peluang PKNP FC memperoleh 1 mata.
Selepas aksi-aksi perlawanan ini, Kelantan kekal di tangga terbawah dengan 11 mata sementara PKNS FC di tangga keenam dengan 23 mata.
Negeri Sembilan pula di tangga kedua terbawah dengan 12 mata dengan Pahang kini hanya 1 mata di belakang Perak di tangga ketiga dengan 27 mata.
PKNP FC kini ditangga kesepuluh dengan 17 mata sementara Melaka United di tangga ketujuh dengan 20 mata.