Saingan Liga Premier pada musim ini tidak kurang rancaknya. Beberapa pasukan tampil garang pada awal musim, dalam empat sehingga lima perlawanan pertama yang dilangsungkan sepanjang bulan Mac lalu.
Beberapa pemain turut menyerlahkan kemampuan mereka dalam mengemudi pasukan masing-masing. Berikut adalah lima pemain yang dianggap terbaik dan dicalonkan untuk Anugerah Pemain Terbaik Bulanan (Mac) PFAM-ASIANA.MY.
Sharbinee Allawee (Sarawak United FC)
Pasukan dari Bumi Kenyalang ini tampil dengan reputasi sebagai pasukan paling kebal di bahagian pertahanan setakat ini.
Kehadiran Sharbinee Allawee tidak dinafikan telah menambahbaik kualiti bahagian pertahanan Sarawak United pada musim ini yang tidak dibolosi langsung selepas melalui empat perlawanan setakat ini.
Nyata pengalaman penjaga gol veteran ini amat penting buat Sarawak United dalam usaha mereka mencari laluan layak ke Liga Super pada musim hadapan.
Uche Agba (Sarawak United FC)
Bersama Melaka United di saingan Liga Super pada musim lalu, Uche Agba pantas disambar oleh Sarawak United untuk saingan Liga Premier pada musim ini. Pelaburan Sarawak United ternyata berbaloi mengambil kira pengalaman Uche Agba di Liga Malaysia sebelum ini.
Tidak sukar untuk menyesuaikan diri, Uche Agba pantas menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan dan meledak empat gol dari empat perlawanan pertama pada musim ini, Uche Agba dilihat sebagai amat instrumental sebagai di bahagian jentera serangan Sarawak United sepanjang Mac lalu.
Ramalloo Barathkumar (Negeri Sembilan FC)
Ramallo Barathkumar kembali menyertai negeri asalnya pada musim ini setelah bersama PJ City FC pada musim lalu. Prestasi cemerlang Negeri Sembilan FC setakat ini yang berada di kedudukan ketiga juga bukannya satu kebetulan.
Dikenali sebagai pemain yang kerap menjaringkan gol spektakular, R. Barathkumar adalah pemain tempatan tunggal yang berada di kelompok atasan penjarang terbanyak Liga Premier pada bulan Mac.
George Attaram (Selangor FC II)
Penyerang berusia 20 tahun dari Ghana ini telah menjaringkan lima gol daripada empat perlawanan pertama Liga Premier. Jumlah tersebut menjadikan beliau sebagai penjaring terbanyak Liga Premier bagi bulan Mac.
Turut digandingkan dengan skuad muda Red Giants, pencapaian George Attaram dianggap melepasi jangkaan. Jika beliau berjaya mengekalkan prestasi cemerlang ini, maka tidak mustahil George Attaram akan dipanggil untuk memperkuatkan skuad utama Red Giants pada masa hadapan.
Alain Akono (Negeri Sembilan FC)
Penyerang dari Cameroon berusia 25 tahun ini beraksi pada musim pertamanya di Liga Malaysia bersama Negeri Sembilan FC.
Namun demikian ia tidak menghalang Alain Akono memastikan lawan merasakan kehadirannya dengan 4 gol yang dihasilkannya dari 5 perlawanan pertama yang dihadapi setakat ini.
Jika prestasi sama dikekalkan, maka nama Alain Akono boleh dikatakan bakal menjadi duri dalam daging buat mana-mana pasukan yang berhadapan Negeri Sembilan sepanjang musim ini.
Penutup
Siapakah di antara kelima-lima pemain yang akan bergelar pemain terbaik bulanan PFAM-ASIANA.MY bagi bulan Mac. Semuanya berada di dalam tangan anda untuk menentukannya.
Sila pilih pemain terbaik pilihan anda dengan mengundi melalui pautan: https://pfam.my/poll/potmlpmac2021/. Undian dibuka sehingga 25 April ini. Selamat mengundi!