Pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Unai Emery menjangkakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri menjadi faktor utama buat Real Madrid bagi menumbangkan Barcelona dalam pertembungan El Clasico hujung minggu ini.
Juara bertahan La Liga itu bakal menanti kunjungan pendahulu liga yang kini berkelebihan 11 mata meninggalkan skuad bimbingan Zinedine Zidane.
Real Madrid bagaimanapun mempunyai kelebihan satu perlawanan kerana baru sahaja terlibat dalam saingan Piala Kelab Dunia 2017 yang berlangsung di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Unai Emery turut akan ke Santiago Bernabeu bagi menyaksikan perlawanan terhangat itu.
Kehadirannya di Madrid juga sebagai persiapan buat PSG bagi menentang Real Madrid dalam pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah dan beliau percaya beraksi di tempat sendiri menjadi kelebihan buat Los Blancos berbanding Barcelona.
”Perbezaa mata terlalu jauh tetapi pada Sabtu nanti sekiranya satu pasukan sebagai pilihan untuk menang dan ianya adalah Real Madrid kerana mereka beraksi di tempat sendiri,” kata Emery kepada Marca.
”Kelebihan di tempat sendiri adalah sangat penting dalam aksi El Clasico.”
”Selain itu, Real Madrid akan bermain untuk menghidupkan peluang merebut kejuaraan La Liga.”
”Mereka memerlukan tiga mata penuh dan kelebihan di tempat sendiri adalah sangat penting buat mereka.”
Selepas mendominasi La Liga dan Liga Juara-Juara Eropah musim 2016/17, Real Madrid kelihatan bergelut untuk mempamerkan prestasi yang baik musim ini dan begitu sukar untuk mengekalkan konsistensi mereka.
Tetapi Unai Emery tetap percaya dengan keupayaan yang dimiliki juara dunia itu.
”Faktanya adalah mereka gagal menyerlah pada permulaan musim ini bermakna terdapat sesuatu pada pusingan kedua liga dari Real Madrid.”
”Ketika perlawanan penting berlangsung, saya yakin mereka akan menjadi lebih baik.”
”Real Madrid masih sebuah pasukan yang sangat baik. Mereka telah memenangi dua Liga Juara-Juara Eropah yang terakhir dan satu kejayaan La Liga.”