Ultras Malaya Seru ‘Ekor’ Banjiri SNBJ Bantu Pasukan Negara

Ultras Malaya Malaysia Jordan

Kumpulan penyokong garis keras pasukan negara yang dikenali sebagai Ultras Malaya menyeru semua penyokong bola sepak negara atau ‘ekor’ untuk membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis ini.

Malaysia akan berhadapan Thailand pada Khamis ini, diikuti Indonesia lima hari kemudian di pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Skuad Gajah Perang kendalian bekas jurulatih Piala Dunia Jepun, Akira Nishino kini menduduki tangga ke-109 dunia di dalam ranking FIFA.

Manakala pasukan negara kini berada di kedudukan ke-159 dunia – jelas menunjukkan jurang keupayaan kedua-dua pasukan.

Bagi Ultras Malaya, inilah masanya penyokong bola sepak di negara ini tampil ke hadapan membanjiri stadium untuk memberikan sokongan padu kepada skuad bimbingan Tan Cheng Hoe.

“Hasut kawan kawan, sedara mara, followers utk turun ke “Rumah” kita!

“Match penting!!”, ujar kumpulan penyokong tersebut melalui media sosial.

Kehadiran Ultras Malaya dan ‘ekor’ di kalangan penyokong bola sepak negara sememangnya sentiasa melahirkan rasa gerun di kalangan pemain lawan.

Penyokong ternyata adalah elemen penting di dalam bola sepak, dan sering kali dianggap pemain ke-12 terutama dalam perlawanan-perlawanan penting.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe perlu menggunakan kelebihan beraksi di tempat sendiri dalam dua perlawanan berikutnya untuk sebarang harapan mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia.

Penyokong Harimau Malaya. FOTO: FAM

Selepas tiga perlawanan, pasukan negara menduduki tempat ke-4 saingan Kumpulan G selepas mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas Indonesia, sebelum tewas 1-2 kepada UAE di Bukit Jalil dan 0-1 kepada Vietnam di Hanoi.

Pasukan negara masih perlu untuk ke Abu Dhabi untuk berhadapan UAE dan juga Bangkok untuk melengkapkan saingan kelayakan pusingan kedua ini- selain turut menanti kunjungan Vietnam pada tahun hadapan.

 

Leave a Reply