Esok, Malaysia akan membuka tirai Kejohanan AFC B-23 2018 menentang Iraq. Semuanya BOLA telah berkesempatan untuk menghubungi wakil penyokong Ultras Malaya, Alfadli Awaludin.
Masih ingat tulisan yang dicoret pada kain rentang yang dipasang oleh Ultras Malaya di Curva mereka dalam perlawanan akhir Sukan SEA 2017 ketika menentang Thailand?
Ya, mereka tiada di Curva menyokong pada perlawanan tersebut atas faktor solidariti bersama semua pemain ke-12 (penyokong) dan juga kegagalan urus tadbir penjualan tiket Sukan SEA.
‘SEE U IN CHINA’, satu mesej khas di kain rentang tersebut buat barisan kejurulatihan dan pemain yang mereka tidak akan keseorangan berjuang di bumi China, Januari ini.
“Sejak kain rentang itu dinaikkan, komrad sudah mula kumpul duit,” ujar Alfadli apabila ditanya oleh Semuanya BOLA berkenaan sejak bila perancangan ke China berjalan.
“Tiada apa-apa perancangan di sana, kami akan menginap di sekitar Shanxi Road, dan akan berada di sana sehingga selesai perlawanan peringkat kumpulan.
“Ada juga yang balik selepas perlawanan kedua dan ada yang akan sampai selepas perlawanan pertama serta tinggal hingga perlawanan ketiga,” jelas Alfadli mengenai aktiviti mereka di sana nanti.
Ultras Malaya sudah dikenali dengan aktiviti ‘awaydays’ mereka, di mana, mereka akan mengikuti ke mana sahaja skuad bola sepak negara bertandang untuk beraksi.
Antara negara yang pernah dijelajahi oleh Ultras Malaya adalah Indonesia, Singapura, Thailand, Hong Kong dan UAE dalam misi untuk senantiasa menjadi ‘ekor Harimau Malaya’.
“Tidak pasti, di UAE juga kami pernah ada waktu kekalahan 0-10,” jawab Alfadli ketika ditanyakan jumlah ‘awaydays’ yang telah mereka jalankan setakat ini.
Untuk misi di Kejohanan AFC B-23 kali ini, Ultras Malaya telah mula merancang selepas tamat aksi Sukan SEA yang lalu dan telah berjaya menghimpunkan sejumlah komrad untuk bersama.
“Tidak ramai seperti di kejohanan Sukan SEA tahun lepas, tapi cukuplah satu bas di sana nanti,” ujarnya yang juga mesra disapa dengan panggilan Rambo.
Alfadli diminta mengulas mengenai kekuatan yang ada pada setiap komrad Ultras Malaya. Ini kerana, walaupun dikritik di segenap sudut dengan pelbagai isu, mereka tetap teguh di belakang Harimau Malaya.
“Ultras Malaya wujud bukan untuk disanjungi, bukan juga untuk dibenci. Mereka buat sebab mereka suka hendak buat, bukan sebab sesiapa,” jelasnya.
Untuk skuad B-23 dan barisan kejurulatihan, Alfadli mengharapkan satu aksi permainan yang baik seperti mana yang telah dipersembahkan ketika di Sukan SEA yang lalu.
“Dapatkan mata perlawanan, jangan biarkan kosong,” ujar Alfadli apabila ditanya pesanan khas buat para pemain dan barisan kejurulatihan skuad B-23 negara.
Semuanya BOLA turut mendapatkan respon dari ketua jurulatih skuad B-23, Datuk Ong Kim Swee mengenai kehadiran Ultras Malaya ke Changshu, China.
“Kami menghargai sokongan Ultras Malaya yang senantiasa menyokong pasukan kebangsaan dan ini pasti akan menyuntik semangat para pemain apabila terbukti pada Sukan SEA yang lepas,” ujar Kim Swee.
Umum mengetahui, Kim Swee dan anak-anak buahnya sentiasa menghargai kehadiran penyokong dan Ultras Malaya untuk memberi sorakan sokongan buat mereka.
“Buat semua penyokong terutamanya Ultras Malaya, saya ingin mengucapkan terima kasih dan semoga semua selamat ketika berada di bumi China ini,” ucap Kim Swee lagi.
Alfadli yang akan berangkat ke China pada malam ini juga telah menitip pesanan khas buat penyokong Malaysia yang akan turun ke stadium berseorangan di sana;
“Jumpa di stadium, kalau perlukan apa-apa bantuan boleh mesej ke akaun UM, mari menyokong bersama-sama.”
Jom layan video yang baharu dimuat naik di laman Facebook rasmi Ultras Malaya ini.