Ultras AC Milan Kutuk Tindakan Mino Raiola (Ejen Pemain) Hasut Gianluigi Donnarumma

“Adalah menakjubkan bila seorang individu boleh melakukan semua ini dengan menjadikan kelab seperti Milan sebagai tebusan, dan menjadikan lelaki 18 tahun yang mencium lencana kelab setiap Ahad sebagai satu objek.”

Siapa individu tersebut? Siapa lelaki 18 tahun yang mencium lencana kelab setiap Ahad itu? Dan siapa pula yang membuat kenyataan ini?

Memperkenalkan Curva Sud Milano, kumpulan ultras AC Milan.

(Photo by AMA/Corbis via Getty Images)

Dalam kenyataan media mereka semalam yang disiarkan di halaman utama laman web rasmi, Curva Sud Milano mengutuk peranan ejen pemain, Mino Raiola yang menghasut Gianluigi Donnarumma supaya menjadikan kelabnya sebagai ‘tebusan’.

AC Milan dilaporkan telah menawarkan kontrak baru bernilai €4.5 juta setahun kepada Donnarumma. Beliau mahu kekal bermain di Milan. Tetapi atas nasihat (atau hasutan) Raiola, Donnarumma melengah-lengahkan persetujuannya.

Ini kerana Raiola mahu memasukkan 2 klausa khas:

  • AC Milan wajib bersetuju dengan harga klausa perlepasan sebanyak €100 juta
  • AC Milan wajib membenarkan kliennya berpindah keluar sekiranya jika AC Milan gagal layak ke UEFA Champions League

Mesej ultras Milan

Dalam siaran media tersebut, Curva Sud Milano melabel kes ‘Donnarumma-gate’ ini sebagai sesuatu yang gila.

“Kami menulis kerana merasakan situasi ‘Donnarumma-gate’ ini adalah sesuatu yang gila.”

“Kami bercakap tentang seorang fenomena yang muda dan berada di bawah jagaan ejen yang tidak bermoral, dan fenomena muda ini berada dalam situasi yang membuatkan penyokong Milan dan kelab berasa gementar,” dedah mereka lagi.

Curva Sud Milano tegas mengutuk perbuatan Raiola yang menghasut pemain di bawah jagaannya, Donnarumma supaya melengah-lengahkan persetujuan kontrak baru.

“Adalah menakjubkan bila seorang individu boleh melakukan semua ini dengan menjadikan kelab seperti Milan sebagai tebusan, dan menjadikan lelaki 18 tahun yang mencium lencana kelab setiap Ahad sebagai satu objek.”

“Keazaman pemain mesti diambil kira, begitu juga dengan keazaman kelab. Individu tidak bermoral mesti ditegah memandangkan tujuan utama mereka adalah mencapai persetujuan dan memasukkan klausa yang menguntungkan diri mereka sendiri.”

Kumpulan penyokong AC Milan yang fanatik ini turut memberi contoh, “Lihatlah apa yang berlaku kepada [Paul] Pogba dan Juventus. Beliau [Raiola] hanya mahukan duit yang banyak daripada jualan masa akan datang.”

“Kita banyak bercakap tentang krisis bola sepak Itali, dengan kurangnya kuasa kewangan kita berbanding negara lain.”

“Tetapi jika peraturan sekarang membenarkan [ejen] untuk mengaut keuntungan daripada dunia bola sepak untuk kepentingan diri sendiri, maka sukarlah bola sepak kita untuk membangun.”

“Jutaan euros telah diambil dari dunia bola sepak dan ianya takkan disalur semula ke dunia bola sepak.”

Curva Sud Milano turut mahukan kelab mereka supaya mengharamkan pemain kelab diwakili oleh Raiola.

“Terdapat beberapa kelab di luar sana yang mengharamkan sesetengah ejen. Malangnya Milan membuka pintu pula kepada mereka. Sekarang kita sedang menanggung akibatnya.”

Sebagai rekod, Raiola mempunyai hubungan yang sangat baik dengan bekas CEO AC Milan, Adriano Galliani.

“Kami harap pemilik baru kelab boleh membebaskan kita daripada individu-individu ini dan memulakan era baru dengan moral tinggi, tanpa perlu dijadika tebusan sesiapa.”

Mereka turut berharap FIGC (Persatuan Bola Sepak Itali) supaya masuk campur.

“Kami juga mengharapkan supaya FIGC masuk campur untuk mengehadkan kuasa ejen pemain. Ini kerana hal ini berada di bawah bidang kuasa mereka yang seiring dengan prinsip kami. Bukannya memenuhkan poket ejen.”

Di akhir siaran media mereka, Curva Sud Milano mahu Donnarumma kekal di Milan.

“Kepada Gigio, kami mahukan anda membuktikan sekali lagi karakter dan cinta anda kepada Mila dengan fakta.”

“Cinta bukan setakat disemai dengan ciuman. Ia turut mekar dengan tindakan murni.”

Sumber: www.curvasudmilano.it

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN