Ulat tiket wujud di mana-mana. Jika ulat tiket di Malaysia boleh menjual tiket perlawanan panas dengan keuntungan sekali ganda, ulat tiket di UK pula boleh mengaut keuntungan sehingga 165 kali ganda!
Inilah yang berlaku apabila tiket perlawanan home terakhir Leicester dilaporkan telah habis dijual dalam masa 90 minit semalam sebelum dijual semula oleh ulat tiket pada harga yang sangat mahal.
Harga tiket perlawanan menentang Everton pada 7 Mei 2016 ini dijual oleh pihak pengurusan Leicester pada harga maksimum £45 (RM249).
Beberapa jam selepas Leicester mengumumkan tikat perlawanan tersebut sudah habis, penyokong yang kempunan mengadu ada beberapa tiket sedang dijual semula secara online pada harga lebih £3,000 (RM16,624).
Malah ada ulat tiket yang menjual sepasang tiket perlawanan tersebut pada harga £15,000 (RM83,121) untuk tiket paired seats!
Bakal ambil tindakan
Menurut laporan BBC Sport, banyak penyokong Leicester yang mempunyai melanggan pakej keahlian kelab berhadapan dengan prospek tidak dapat menghadiri perlawanan tersebut.
Leicester kini 7 mata di hadapan pasukan tangga ke-2, Tottenham Hotspur dengan saingan liga hanya berbaki 5 perlawanan lagi.
Mereka sudah mengesahkan penyertaan dalam UEFA Champions League pada musim depan dan hanya memerlukan 9 mata untuk sah bergelar juara.
Leicester bakal melayan kunjungan West Ham dan Swansea di King Power Stadium selepas ini sebelum melawat Old Trafford untuk menentang Manchester United.
Selepas itu, Leicester akan bermain dalam perlawanan home terakhir mereka menentang Everton sebelum melawat Stamford Bridge untuk menentang Chelsea dalam perlawanan terakhir liga pada 15 Mei 2016.
Perlawanan home terakhir Leicester menentang Everton berkemungkinan besar bakal menjadi penentu kejuaraan mereka buat kali pertama dalam sejarah Premier League.
Ini menjelaskan situasi mengapa tiket perlawanan ini habis dijual dengan begitu pantas, hingga menyebabkan ramai penyokong yang mempunyai kad keahlian kelab tak dapat membeli tiket.
Pihak pengurusan Leicester dilaporkan bakal mengambil tindakan terhadap sebarang usaha menjual tiket melebihi nilai pasaran kerana ‘ianya merupakan jenayah di bawah undang-undang UK’.
Tetapi dalam pada masa yang sama, Leicester juga memberi penekanan kepada penyokong mereka yang kempunan bahawa status keahlian kelab tidak menjamin mereka akan mendapat tiket.
Baca juga: Anak Saudara Sultan Brunei Tinggalkan Chelsea, Sertai Leicester City