Ulasan Nothing To Hide: Isu Lesen Liga Super, Politik Dan Penstrukturan Terengganu

Semalam seorang wakil kami sempat menghadiri satu sesi dialog terbuka di antara peminat dan pengurusan pasukan Terengganu, Nothing To Hide.

4 panel jemputan adalah Datuk Rozi Mamat (Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia), Datuk Tengku Faruk Hussin (PBSNT), Hairuddin Omar (Bekas pemain) dan wakil pihak penyokong, Encik Radhie.

Sepanjang sesi banyak perkara dibentang dan juga didialogkan secara 2 hala.

Idea penggabungan

Rata-rata 3 panel, kecuali wakil penyokong bersetuju 100% dengan idea penggabungan ini yang menjadikan bola sepak Terengganu di bawah satu panji sahaja.  Mereka berpandangan penggabungan ini untuk mengelakkan persaingan di antara 2 pasukan utama di Terengganu.

Hairuddin Omar menyatakan penggabungan ini akan membolehkan semua orang di Terengganu bersatu dalam satu pasukan. Tambah beliau lagi sebelum ini, Terengganu dan T-Team, kedua-dua pasukan akan menjadi lebih bersemangat.

Ini untuk mengelakkan penyokong dan pemain serta pengurusan Terengganu dan PBSNT dari berbalah, sedangkan dana datang dari satu sumber yang sama.

Untuk isu perseteruan itu, kami kurang bersetuju dengan Hairuddin Omar. Kerana secara tak langsung selama ini T-Team dan Terengganu FA telah mewujudkan derbi yang selayaknya di dalam bola sepak.

Pihak panel yakin penggabungan ini akan memberikan impak positif pada masa akan datang dan meminta penyokong Terengganu memberikan sedikit masa.

Seterusnya, Datuk Rozi Mamat pula berharap pengurusan PBSNT tidak meletakkan sasaran tidak realistik dalam masa terdekat, misalnya meletakkan sasaran pasukan Terengganu 1 dan Terengganu 2 menang piala pada musim hadapan.

Sistem feeder

Hairuddin Omar juga menjelaskan sistem feeder club ataupun kelab pembekal. Dalam Terengganu 2 wajib 13 pemain bawah 23 tahun mengikut dasar dan peraturan yang ditetapkan FMLLP.

Ini memberikan peluang kepada pemain muda untuk menyerlah dan tahu hala tuju karier.

Sebelum ini banyak pemain muda terkontang-kanting selepas tamat kejohanan seperti Piala Presiden. Dalam Terengganu 3 pula adalah pasukan Piala Presiden.

Jadi untuk pemain dari pasukan Terengganu di 2,3 dan 4 akan dipromosi ke pasukan lebih tinggi, Hairuddin mencadangkan 5 pemain setiap tahun dinaikkan ke pasukan lebih tinggi. Ini akan membantu pembangunan.

Ini secara tak langsung menepati syarat perselenan FMLLP yang mahukan ada program pembangunan.

Isu stadium

Pihak panel menjawab persoalan tentang kegagalan pengurusan dalam menyelenggara padang Sultan Mizan Zainal Abidin. Sehingga ke hari ini, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah masih menjadi stadium yang padangnya lebih baik.

Pihak PBSNT memberitahu, mereka akan menyelesaikan masalah ini secara menyeluruh termasuk padang dan bumbung stadium. Cuma kini berlaku kekangan dana.

Mereka juga memberitahu di Terengganu masih kurang padang bola sepak termasuk padang latihan.

Jika boleh PBSNT mahu membina stadium baru tetapi sekali lagi masalah dana adalah isunya.

Politik dan bola sepak

Ahli panel ditekan dengan hujah politik dalam bola sepak antara masalah perdana dalam pengurusan. Namun Datuk Rozi menyatakan kuasa politik pada Menteri Besar masih relevan.

Ini kerana PBSNT adalah ‘pemilik saham’ utama dalam pasukan Terengganu dan sudah menjadi lumrah di mana-mana pengurusan di dunia, organisasi yang memiliki pegangan saham lebih besar dalam pasukan akan menjadi kuasa utama dalam bola sepak.

Namun beliau menepis spekulasi ada campur tangan daripada pihak Menteri Besar ataupun mana-mana ahli politik ke atas badan pengurusan pasukan dan jurulatih untuk aspek teknikal bola sepak.

Mereka hanya membantu atas keperluan dan bidang kuasa mereka sahaja termasuk mencari dana untuk mendapatkan pemain baru dan scouting.

Seterusnya, wakil kami memfokuskan kepada 2 topik utama yang dibincangkan peminat di media sosial.

Model pengurusan T-Team sebagai tunjang

Dalam media sosial banyak persoalan ditanya, adakah benar penggabungan ini salah satu daripada sebabnya adalah kerana hanya ada 1 pasukan sahaja yang ada lesen liga Super di Terengganu, yakni T-Team?

Seorang wakil penyokong, Zunaidi ada menyebut bahawa lesen Terengganu adalah dari T-Team. Datuk Rozi Mamat tidak menjelaskan dengan teperinci isu ini ataupun membuat verifikasi untuk hujah ini.

Beliau juga tidak ada kenyataan yang menafikan ataupun mengiyakan bahawa Terengganu FA (sebelum ini) tidak ada lesen dan T-Team ada lesen, dan lesen Liga Super musim hadapan adalah daripada usaha pengurusan T-Team musim lalu.

Datuk Rozi Mamat hanya menjelaskan beliau mahu penstrukturan semula dalam pengurusan dengan menggabungkan pengurusan Terengganu FA dan T-Team.

Beliau juga menyatakan pengurusan baru Terengganu musim hadapan adalah bertunjangkan model pengurusan T-Team.

Persoalan berbangkit daripada peminat di media sosial

Pada akhir sesi dengan media, wakil kami mahukan Datuk Rozi Mamat membuat pengesahan tentang tuduhan peminat. Wakil kami berkata:

“Soalan kepada Datuk Rozi Mamat, di media sosial, kami mendengar penyokong resah dengan 2 isu utama.”

“Pertama, boleh atau  tidak pihak PBSNT mengesahkan kenyataan menyatakan lesen Liga Super yang digunakan Terengganu adalah milik T-Team? Jika hal itu benar berlaku, ada segelintir penyokong merasakan ia tidak adil untuk T-Team dijadikan pasukan feeder selepas segala usaha mereka.”

“Keduanya, jika PBSNT serius dalam menstruktur semula pengurusan, penyokong mahu tahu, apa bezanya model pengurusan bola sepak yang lama dengan yang baru? Dan apa pandangan PBSNT tentang cadangan mewujudkan jawatan Pengarah Teknikal ataupun Pengarah Sukan (Sporting Director)?”

“Sporting Director adalah jawatan yang digalas oleh orang yang cakna tentang bola sepak. Misalnya dalam revolusi TMJ di JDT, selepas baginda banyak belajar ke Eropah, baginda mendapati  sebenarnya baginda memerlukan orang yang benar-benar tahu tentang bola sepak secara lebih mendalam dan ketika itu TMJ terus melantik Alistair Edwards.”

“Profail Alistair Edwards adalah sebagai seorang bekas pemain, jurulatih bertauliah dan ada kemampuan mentadbir urus. Ini membuatkan Alistair tahu tentang bola sepak di dalam dan di luar padang.”

“Jika PBSNT bersetuju dengan cadangan itu, penyokong mahu tahu. Adakah orang yang dilantik nanti benar-benar orang yang tahu perihal bola sepak secara menyeluruh ataupun hanya memilih orang yang sebelum ini ada pengalaman mengurus bola sepak? Sebabnya jawatan ini akan menjadi tunjang dasar dan keputusan pengurusan.”

Selepas diajukan soalan tersebut, Datuk Rozi Mamat berkata:

“Menjawab cadangan tentang jawatan Sporting Director, kita akan pertimbangkan jika ia benar-benar bagus, dan mencari orang yang benar-benar layak untuk menggalasnya.”

“Berbalik pada soalan pertama tentang lesen, anda semua harus faham, sekarang ini kita wujudkan Terengganu yang baru. Ini adalah penjenamaan semula.”

Daripada jawapan di atas, kami secara adilnya tidak mendapat pengesahan daripada isu yang dibangkitkan peminat berkenaan siapakah pemilik sebenar lesen Liga Super musim hadapan.

2 kali isu itu disebut malam itu dan pihak panel juga tidak ada hujah penafian ataupun mengiyakannya.

Rumusan

Daripada program Nothing To Hide  Bola Sepak Terengganu kali ini, kami bertemu dengan beberapa wakil peminat bola sepak. Dan mereka merasakan banyak persoalan yang tidak dijawab dengan memuaskan oleh panel.

Seterusnya, penyokong juga kesal dengan tindakan PBSNT yang terlalu drastik. Transformasi harus ada perancangan sebaik mungkin.

Beberapa perbincangan wakil kami dengan peminat Terengganu, mereka ternyata setuju dengan satu cadangan kami berbunyi:

Dasar seperti ini seharusnya dilaksanakan paling awal pada 2019. Umumkan dahulu perancangan ini kepada peminat. Kemudian pasukan yang berada di tangga terbaik dalam liga utama secara merit akan menjadi pasukan tunjang Terengganu FC 1.

Pengumuman PBSNT tentang penstrukturan semula pasukan Terengganu hanya selepas liga berakhir dianggap tidak adil kepada T-Team, walaupun rata-rata mereka mengakui meletakkan Terengganu FA sebelum ini sebagai pasukan utama.

Tetapi sekarang ini, keadilan untuk T-Team harus diperjuangkan.Keputusan ini diambil selepas T-Team berusaha mati-matian untuk kekal dalam Liga Super.

Tetapi dengan penjelasan daripada pihak panel bahawa penggabungan ini akan meletakkan Terengganu di bawah bumbung PBSNT sepenuhnya, membuatkan ada dasar yang menghalang 2 pasukan daripada pengurusan yang sama beraksi di dalam kejohanan yang sama.

Pada awal sesi dialog, Datuk Rozi berkata beliau sudah lama mencadangkan tentang hal ini dan memberikan klu tentangnya di laman facebook beliau.

Tuntutan 31, apa jadi?

Kami juga tertarik dengan 31 tuntutan daripada pihak penyokong Terengganu yang tidak dibincangkan dalam Nothing To Hide Terengganu kali ini. Ahli panel nampaknya tidak membaca langsung 31 tuntutan itu.

Wakil penyokong, Encik Radhie berkata, 31 tuntutan itu sudah diserahkan kepada PBSNT dan Menteri Besar agar ia dibincangkan di dalam forum tersebut.

Tetapi malangnya, ahli panel dari pihak PBSNT seakan-akan ‘tidak membaca’ apa yang terkandung di dalamnya.

Anda boleh baca di sini:

Akhir sekali, kami sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk bola sepak Terengganu. Tugas pihak pengurusan dan pelaksana dasar seterusnya adalah membuktikan apa yang mereka rancang ini memberikan hasil yang membanggakan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN