Mungkin peribahasa pisang berbuah dua kali sudah tidak lagi relevan untuk diguna pakai oleh masalah yang melanda skuad Melaka United.
Isu kelewatan pembayaran gaji pemain bukan pertama kali berlaku di Melaka United.
Malah pada Mac tahun lalu, Melaka United menjadi pasukan Liga Super pertama pada musim tersebut yang menerima hukuman pemotongan mata disebabkan kegagalan membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Jika peribahasa Melayu yang lemah lembut yang sering dijadikan kiasan untuk menjelaskan sesuatu situasi – ‘pisang berbuah dua kali’ – sudah tidak lagi releven, maka mungkin ungkapan dialog daripada filem yang sering digunakan oleh netizen ‘ulang sampai Abang Jamil mampos’ – lebih sesuai digunakan untuk menggambarkan situasi di Melaka United.
Pemain hilang motivasi
Masalah gaji tertunggak yang melanda Melaka United pada musim ini dikatakan menjadi punca pemain pasukan itu hilang motivasi sehingga tewas 0-1 kepada Sabah FC dalam saingan Liga Super baru-baru ini.
Perkara itu didedahkan sendiri oleh Ketua Jurulatih, Risto Vidakovic yang mendakwa barisan pemainnya berada di dalam keadaan tertekan disebabkan situasi tersebut.
“Kami mempunyai sedikit masalah dan saya berharap perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin kerana kami tidak mampu bekerja dengan baik dalam situasi ini dan jika kami tidak dapat bekerja dengan baik, anda tidak boleh mengharapkan apa-apa kerana ia adalah situasi sukar untuk kami,” ujar Vidakovic seperti yang dipetik daripada Bernama.
“Sebagai jurulatih saya tidak pernah berdepan situasi ini dan ini kali pertama. Sukar untuk saya berkata apa-apa kepada pemain kerana mereka telah memberikan segala-galanya untuk pasukan dan perlawanan pada malam ini (Selasa lalu).”
Vidakovic turut berpendapat isu pembayaran gaji tidak sepatutnya berlaku dan percaya gaji adalah perkara terutama dalam membentuk motivasi pemain.
Bukan kali pertama
Jika disingkap kembali, isu kegagalan kelab tersebut gagal melunaskan pembayaran gaji mengikut jadual yang ditetapkan turut berlaku sejak 2016 dan 2019.
Melaka United turut menarik perhatian kerana kegagalan membayar gaji selepas pendedahan terbaru oleh bekas pemain, Khairul Helmi Johari pada Januari lalu.
“Sedang Sibuk Struktur Semula” – Kenapa Pisang Selalu Berbuah Dua Kali Di Melaka United?
Jika sebelum ini, proses penstrukturan semula pentadbiran dan kewangan menjadi alasan Melaka United gagal melunaskan gaji pemain dan pegawai kelab itu, apakah alasan yang akan ditampilkan oleh kelab itu kali ini.
Satu perkara yang pasti, isu gaji ibarat sudah menjadi ‘barah’ di dalam saingan Liga Malaysia. Dan Melaka United adalah salah sebuah pasukan yang tidak habis-habis menjadi punca barah tersebut.