UiTM Julang Piala Sumbangsih Liga IPT 2018, Tumbangkan UPM 3-0

Universiti Teknologi MARA (UiTM) meneruskan dominasi mereka dalam arena bola sepak institut pengajian tinggi (IPT) Malaysia apabila menewaskan Universiti Putra Malaysia (UPM) 3-0 dalam perlawanan Piala Sumbangsih Liga IPT 2018 malam semalam.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam merupakan pembuka tirai bagi musim Liga IPT tahun ini. Lebih 2,000 orang datang menyaksikan UiTM, juara Piala Menteri Pendidikan Tinggi 2017 menjaringkan 3 gol pada separuh masa kedua untuk mengecewakan pelawat yang merupakan naib juara Liga IPT 2017.

Sejak dari awal permainan, UiTM jelas pasukan yang lebih dominan. Perlawanan baru berusia 10 minit, UiTM sudah pun menguji penjaga gol UPM, Zulasyran Jamaluddin sebanyak 3 kali. Bagaimanapun ketumpulan penyudah jentera serangan pasukan tuan rumah menghampakan ketua jurulatih mereka, Fahmi Hatta.

Jentera pertahanan UPM yang diketuai oleh kapten mereka, Ibrahim Aziz bergelut untuk menangani serangan demi serangan UiTM – terutamanya dari sayap kanan melalui larian Salman Abdullah Sani. Di hadapan, jentera serangan mereka hanya mempunyai percubaan tepat pertama pada minit hujung separuh masa pertama.

Kapten dan pertahanan UPM, Ibrahim Aziz (kanan) cuba menghalang pemain UiTM daripada mendapatkan bola dalam perlawanan Piala Sumbangsih Liga IPT 2018 di Stadium UiTM Shah Alam (Foto: Liga Bola Sepak IPT)

Terikat 0-0 pada babak pertama, ketua jurulatih UPM, Zalmie Jamlus membuat pertukaran taktikal. Ibrahim Aziz yang beraksi sebagai pertahanan tengah diletakkan menggantikan Reuben Dalliah sebagai defensive midfielder. Reuben pula diberi lesen untuk bermain lebih menyerang di hadapan Ibrahim.

Taktik ini berjaya. Beberapa kali UPM mengancam melalui gerakan-gerakan yang direncana oleh Reuben di tengah tetapi kegagalan penyerang UPM, Wan Muhd Zaidan untuk melakukan link up play dengan jentera tengahnya menyukarkan usaha UPM untuk mengancam kubu pertahanan UiTM yang cemerlang dikemudi oleh kapten Ahmad Bukhari.

UiTM sepatutnya sudah mempunyai gol pendahuluan lebih awal pada minit 65′. Tetapi penjaga gol UPM, Zulasyran menafikan pasukan tuan rumah dengan double saves yang mengagumkan. Bagaimanapun keteguhan jentera pertahanan UPM itu tidak bertahan lama.

Penjaga gol UPM, Zulasyran menyelamatkan percubaan dari penyerang UiTM, Amin Khalili dalam perlawanan Piala Sumbangsih Liga IPT 2018. (Foto: Liga Bola Sepak IPT)

3 gol yang dijaringkan UiTM semuanya berpunca daripada kesilapan UPM sendiri. Zulasyran perlu dipersalahkan ketika UiTM mendapat gol pembukaan pada minit ke-70. Menyedari Zulasyran berada jauh dari garisan pintu golnya, pemain tengah UiTM, Izzul Danish terus membuat percubaan menerusi sepakan percuma dari jarak kira-kira 20 ela.

Pada mini ke-83, UiTM menggandakan pendahuluan mereka apabila pertahanan UPM tertampan bola ke gawang sendiri. 4 minit kemudian, Fahmi Sabri menukul paku terakhir di keranda UPM apabila mudah menyempurnakan lay-off penyerangnya untuk gol ke-3 pasukan tuan rumah.

Dengan Piala Sumbangsih yang kini telah menjulang UiTM sebagai pemenang, Liga IPT 2018 akan dimulakan secara rasminya. Sebanyak 12 pasukan akan berentap dalam Divisyen 1 manakala 8 lagi pasukan di Divisyen 2.

Pasukan Divisyen 1
UiTM Shah Alam
UiTM Perlis
Universiti Malaya (UM)
Universiti Putra Malaysia (UPM)
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM)
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Politeknik Malaysia
Universiti Sains Malaysia
Multimedia University (MMU)
UiTM Pahang
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Pasukan Divisyen 2
Kolej Komuniti Malaysia
UiTM Perak
UNITEN
UiTM Pulau Pinang
Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
HELP University
Universiti Malaysia Kelantan (UMK)
Universiti Utara Malaysia (UUM)

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN