Perjalanan Wolves dalam kempen UEFA Europa League berakhir awal pagi tadi selepas mempamerkan persembahan memalukan untuk tewas 0-1 kepada Sevilla.
Dengan kemenangan ini, Sevilla menempah slot separuh akhir untuk bertemu Manchester United pada Ahad (awal pagi Isnin waktu Malaysia) ini.
Wolves bukan sahaja diajar cara memegang bola oleh Sevilla, malah turut mempamerkan kemarau kreativiti – sesuatu yang jelas kelihatan dalam persembahan mereka selepas musim bola sepak bersambung semula pasca wabak pandemik COVID-19.
Barisan tengah pasukan Premier League itu kelihatan sukar untuk mencipta peluang. Mereka seakan-akan terlalu mengharapkan inspirasi daripada Adama Traore, Raul Jimenez (dan Diego Jota yang masuk kemudian) untuk menghasilkan peluang.
Jimenez terlebih dahulu berpeluang menjaringkan gol pembukaan menerusi sepakan penalti pada minit ke-13. Bagaimanapun sepakannya berjaya diselamatkan.
Ini adalah kali pertama Jimenez gagal menjaringkan gol menerusi penalti untuk Wolves, selepas berjaya menyempurnakannya dalam lapan sepakan yang diambilnya sebelum ini.
Selepas itu, anak buah Nuno Espirito Santo terus bergelut untuk mencipta peluang. Jentera tengah mereka dikuasai sepenuhnya oleh jeneral Sevilla, Ever Banega, 32, yang mencipta gol kemenangan untuk gol Lucas Ocampos pada masa minit ke-88.
Dengan kekalahan ini, Wolves sah tidak akan beraksi di Eropah pada musim depan selepas menamatkan kempen Premier League di tangga ketujuh.
Tanpa aksi di Eropah, ia juga bermakna Wolves mungkin akan bergelut untuk mengekalkan pemain-pemain bintangnya pada musim depan.
Kempen Eropah Wolves bermula pada 25 Julai 2019 lepas – kali pertama mereka beraksi di Eropah selepas 39 tahun – dengan kemenangan 2-0 di halaman sendiri ke atas Crusaders (kelab semi-pro Ireland Utara).
Bagaimanapun dalam aksi awal pagi tadi di Duisburg, Wolves nampak berkelas-kelas di bawah Sevilla sehingga membuatkan penyokong mereka tertanya-tanya: betulkah pasukan mereka bermain di Premier League?
Adama Traore mungkin satu-satunya penyerang Wolves yang boleh berpuas hati dengan persembahan individunya. Hantaran lintangnya selepas 37 saat perlawanan bermula memberi peluang tandukan kepada Jimenez, sebelum lariannya pada minit ke-13 menghadiahkan penalti.
Bagaimanapun selepas itu Wolves gagal mencatat serangan selama 77 minit. Mujurlah pertahanan mereka beraksi baik.
Sevilla pula bermaharajalela di atas padang dengan 72% penguasaan bola, 18 percubaan dan satu gol berharga menerusi tandukan Ocampos hasil hantaran lintang Banega.
Sepanjang perlawanan, Banega mempunyai 140 sentuhan bola. Tiada pemain Wolves pun yang berjaya menyentuh bola lebih daripada 44 kali.