Nasib berbeza dihadapi dua kelab London dalam saingan Liga Europa (UEL) 2020/21 apabila Arsenal tidak berdepan masalah untuk menumpaskan Dundalk 3-0 di Emirates Stadium manakala Tottenham Hotspur pula kecundang 0-1 pada pertemuan menentang Royal Antwerp, awal pagi tadi.
Membuat 10 pertukaran untuk menghadapi lawan dari Ireland itu, Arsenal memerlukan 42 minit perlawanan bagi membuka tirai jaringan menerusi Eddie Nketiah.
Nketiah menggunakan peluang susulan kegagalan penjaga gol, Gary Rogers untuk menumbuk bola hasil sepakan penjuru yang kemudiannya terkena Daniel Cleary dalam kawasan penalti lalu disudahkan dengan baik penyerang muda tersebut.
Berselang dua minit kemudian, Joe Willock pula meletakkan nama selaku penjaring selepas percubaan jarak dekat diledakkannya tidak mampu dihalang Rogers bagi menjadikan kedudukan 2-0.
Hanya selepas seminit aksi babak kedua bersambung, Arsenal semakin selesa setelah Nicolas Pepe menjelmakan jaringan ketiga menerusi percubaan dari luar kawasan penalti yang sekali gus mengesahkan kemenangan tiga gol tanpa balas buat skuad bimbingan Mikel Arteta itu.
Kemenangan kedua berturut-turut selepas The Gunners menang 2-1 bertemu Rapid Wien pada perlawanan pertama kumpulan B, tempoh hari untuk menduduki tangga teratas susulan kelebihan perbezaan jaringan berbanding wakil Norway, Molde.
Sementara itu di Bosuil Stadion, Jose Mourinho terpaksa menelan kepahitan apabila melihat anak buahnya tumpas 0-1 hasil jaringan tunggal pada minit ke-29 menerusi Lior Refaelov.
Kekalahan itu juga menyaksikan jentera hadapan Tottenham kelihatan agak tumpul setelah hanya mampu mencipta dua bantuan jaringan sepanjang 90 minit perlawanan walaupun pengendali kelahiran Portugal itu membawa masuk Harry Kane dan Son Heung-min pada awal babak kedua.
Ia masih tidak cukup untuk menghalang kemenangan kedua berturut-turut Royal Antwerp bagi meletakkan kelab tersebut di tangga pertama kumpulan J. Spurs yang menang pada aksi pertama di tempat kedua dengan tiga mata.
Selain itu, satu lagi wakil Liga Perdana Inggeris, Leicester City berjaya mencatatkan kemenangan 2-1 bertemu wakil Greece, AEK Athens menerusi jaringan Jamie Vardy dan Hamza Choudhury manakala AC Milan meneruskan rentak cemerlang setelah menang 3-0 ke atas Sparta Prague.
Kredit featured image: Mike Hewitt/Getty Images