UEL 2019/20: MU Berhempas Pulas Sebelum Layak Ke Separuh Akhir

UEL 2019/20

Jaringan tunggal menerusi sepakan penalti dihasilkan Bruno Fernandes pada masa tambahan telah membawa Manchester United (MU) ke peringkat separuh akhir Liga Europa (UEL) 2019/20 selepas bergelut untuk menundukkan FC Copenhagen 1-0 di RheinEnergieStadion, sebentar tadi.

Tidak seperti aksi Inter Milan menentang Bayer Leverkusen yang jauh lebih menghiburkan berikutan tiga jaringan terhasil pada separuh masa pertama dan aksi babak kedua saling berbalas serangan, corak persembahan wakil England dan Denmark ini kelihatan kurang meyakinkan.

Tidak banyak dapat diperkatakan tentang aksi kedua-dua pada 45 minit pertama melainkan percubaan luar kawasan penalti diledakkan Marcus Rashford dan jaringan Mason Greenwood yang dibatalkan.

FC Copenhagen yang sesekali cuba untuk membuat ‘kekacauan’ di hadapan gawang Manchester United juga tidak mampu untuk mendapatkan sebarang percubaan tepat.

Greenwood hampir meletakkan The Red Devils di hadapan pada minit ke-45 tetapi jaringannya dibatalkan oleh Video Assistant Referee (VAR) selepas beliau berada dalam kedudukan ofsaid.

Aksi separuh masa kedua menyaksikan skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer memperkemaskan corak permainan untuk mencipta lebih banyak gerakan dan serangan ke arah kubu FC Copenhagen yang dikawal Karl-Johan Johnsson.

Bagaimanapun, disiplin tinggi ditunjukkan barisan pertahanan FC Copenhagen memaksa pemain Manchester United lebih banyak melakukan percubaan dari luar kawasan penalti.

Greenwood sekali lagi terlepas peluang terbaik setelah percubaannya pada minit ke-57 terkena tiang gol dan kemudiannya Rashford yang cuba untuk melakukan percubaan susulan telah dikesan ofsaid.

Berselang enam minit kemudian, rembatan padu Bruno Fernandes pula terkena tiang gol dan percubaan ‘placing’ dilakukan Paul Pogba di minit ke-68 mudah ditangkap kemas Johnsson.

Johnsson terus cemerlang apabila beliau berjaya menafikan rembatan padu daripada Martial untuk perlawanan kemudiannya berlanjutan sehingga ke masa tambahan.

Penjaga gol berusia 30 tahun itu bagaimanapun hampa pada minit ke-95 apabila beliau tidak mampu untuk menghalang sepakan penalti yang diambil Bruno Fernandes bagi memecah kebuntuan jaringan pada perlawanan ini.

Sepakan penalti itu dihadiahkan kepada Manchester United selepas Andreas Bjelland mengasari Martial dalam kawasan penalti.

Meskipun gagal untuk membawa kelabnya mara ke separuh akhir, Johnsson jelas mencuri tumpuan susulan 13 ‘saves’ cemerlang yang dilakukan penjaga gol kelahiran Ranneslov, Sweden itu.

Keputusan 1-0 tersebut kekal hingga tamat 120 minit perlawanan dan Manchester United akan menanti pemenang aksi suku akhir keempat antara Wolverhampton Wanderers menentang Sevilla, pagi esok sebagai lawan mereka di separuh akhir UEL 2019/20 nanti.

Kredit featured image: James Williamson – AMA/Getty Images

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN