Pemain tengah dari Nigeria, John Obi Mikel membuat penampilan sulung untuk kelab Turki, Trabzonspor semalam di pertandingan Liga Europa (UEL)
Mikel muncul untuk perlawanan pertama pusingan kelayakan ketiga Liga Europa. Trabzonspor berkelana ke Prague bagi menentang Sparta Prague dalam perlawanan tersebut.
Ke Turki
Mikel sebelum ini tidak menandatangani kontrak lanjutan bersama Middlesbrough. Maka, Boro mengambil keputusan untuk melepaskannya.
Lantas pengurus Trabzonspor, Unal Karaman mengambilnya untuk kempen penting Liga Super Turki dan Liga Europa. Mikel diberikan jersi bernombor 12, seperti yang beliau pakai ketika di Chelsea.
Dalam perlawanan tersebut, Sparta Prague dengan Trabzonspor terikat 2-2. Caleb Ekuban dan Alexander Sorloth menjaringkan dua gol pada 10 minit terakhir bagi menyelamatkan maruah kelab Turki itu.
Sebelum itu, mereka ketinggalan dua gol. Perlawanan kedua nanti akan diadakan di Turki pada minggu hadapan.
Wolves bergembira
Dalam satu lagi aksi semalam, kelab Inggeris, Wolverhampton Wanderers meraih kelebihan 4 gol ke atas kelab Armenia, Pyunik. 2 gol itu datang daripada Raul Jimenez. Matt Doherty dan Ruben Neves masing-masing menjaringkan satu gol.
Kemenangan ini hasil usaha yang tidak sia-sia oleh pengurusan kelab Inggeris itu. Media Britain melaporkan pemain Wolves melakukan senaman ringkas di dalam pesawat disewa mereka ketika perjalanan mereka ke Armenia.
Lebih menarik, chef yang dilantik pun turut dibawa bersama bagi memastikan para pemain mendapat makanan yang baik. Perjalanan mereka dari Britain ke Armenia memakan masa 5 jam.
Bakal berhadapan
Sekiranya Trabzonspor berjaya menewaskan Sparta Prague, mereka dijadualkan akan bertemu sama ada AEK Athens (Greece) atau Universitatea Craiova.
Wolves pula akan berhadapan Leicester City pada Ahad bagi perlawanan sulung liga. Sekiranya Wolves memenangi pertembungan menentang Pyunik, sama ada Torino (Itali) atau Shakhtyor Soligorsk (Belarus) akan menjadi lawan mereka.