Arsenal meneruskan rentak tanpa kemenangan dalam 7 perlawanan berturut-turut – prestasi terburuk Arsenal sejak 1992 – selepas tumbang 1-2 kepada Eintracht Frankfurt dalam aksi kumpulan F UEFA Europa League di Emirates Stadium awal pagi tadi.
Anak buah Unai Emery bermula dengan baik pada separuh masa pertama. Frankfurt terpaksa bertahan pada majoriti 45 minit pertama sehinggalah Pierre-Emerick Aubameyang menanduk masuk gol pertama sebelum rehat.
Pelawat hanya berjaya melakukan satu percubaan tepat ke arah Emiliano Martinez pada separuh masa pertama. Tetapi lain ceritanya pada separuh masa kedua.
Dua pertukaran yang dibuat oleh Adi Hutter menyemarakkan serangan pelawat, tetapi ia juga turut dibantu oleh pertahanan longgar dari Arsenal. Pada minit ke-55, pemain tengah Daichi Kamada melencongkan rembatan kencang dari luar kotak untuk menyamakan kedudukan.
Kamada yang sebelum awal pagi ini hanya menjaringkan 1 gol dalam 27 perlawanan untuk Frankfurt kemudiannya menjaringkan gol kemenangan dengan satu lagi gol cantik dari luar kotak penalti.
Perlawanan ini turut menandakan kemunculan semula Granit Xhaka dalam kesebelasan utama Arsenal selepas insiden yang menyaksikan beliau menunjukkan ketidakpuasan hatinya kepada penyokong Arsenal ketika seri 2-2 dengan Crystal Palace pada hujung Oktober lepas.
Lagenda Arsenal, Martin Keown menyelar Unai Emery dan menyifatkan persembahan separuh masa kedua Arsenal sebagai ‘memalukan’.
“Adakah beliau masih dapat memotivasikan pemain? Pemain nampak seperti sudah tidak percayakannya.
“Penyokong Arsenal pernah menunjuk ketidakpuasan hati mereka terhadap Terry Neill – 37 tahun lepas. Saya berada di kelab pada ketika itu dan situasi di kelab sangat buruk. Saya rasa kita sedang berada di situasi sama semula,” ulasnya kepada BT Sport.
Dengan kekalahan ini, Arsenal perlu mengelak kekalahan dalam perlawanan terakhir kumpulan menentang Standard Liege di halaman lawan untuk layak ke pusingan 32 terakhir.
Masa pula nampak semakin suntuk buat Emery untuk menyelamatkan Arsenal dengan spekulasi pemecatannya semakin bertiup kencang berikutan kekalahan ini.