Arsenal berjaya bangkit dua kali daripada ketinggalan yang sekaligus membawa kepada kemenangan ketiga dalam aksi Liga Europa (UEL) 2019/20 apabila menundukkan Vitoria de Guimaraes 3-2 di Emirates Stadium, awal pagi tadi.
Nicolas Pepe muncul wira buat The Gunners selepas jaringannya pada minit ke-90 memastikan tiga mata penuh menjadi minit skuad bimbingan Unai Emery tersebut.
Arsenal bagaimanapun tersentak seawal minit kelapan setelah Marcus Edwards yang memperdayakan dua pertahanan dalam kawasan penalti tuan rumah berjaya merembat masuk bola untuk membuka tirai jaringan.
Aksi selepas itu bertambah menarik dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan Arsenal kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-32 menerusi Gabriel Martinelli.
Pemain berusia 18 tahun kelahiran Brazil itu menanduk masuk bola hasil hantaran lintang cantik yang dilakukan Kieran Tierney dari sebelah kanan pintu gol kelab dari Portugal tersebut.
Kegembiraan itu bagaimanapun hanya mampu bertahan empat minit selepas pasukan pelawat kembali mendahului hasil jaringan oleh Bruno Duarte. Duarte menolak masuk bola susulan percubaan awal dilakukan Davidson yang terlebih dahulu singgah di tiang gol Arsenal.
Baki sepuluh minit terakhir permainan menjadi detik kebangkitan yang dinantikan penyokong Arsenal apabila Pepe menjadikan dirinya selaku wira buat Arsenal pada perlawanan ini dengan dua jaringan penting pada minit ke-80 dan 90.
Kemenangan 3-2 itu meletakkan Arsenal di tangga teratas saingan kumpulan F dengan sembilan mata maksimum bagi meninggalkan wakil Jerman, Eintrach Frankfurt dengan enam mata serta Standard Liege yang mengumpul tiga mata. Vitoria Guimaraes pula di tangga terbawah tanpa sebarang mata.
Kredit foto: Arsenal