Quantcast

BERITA

UEFA Tidak Akan Menggunakan VAR Pada Saingan Liga Juara-Juara Eropah Musim Hadapan

Presiden UEFA, Aleksander Ceferin menegaskan bahawa teknologi yang seringkali diperdebatkan dalam bola sepak iaitu Video Assistant Referee (VAR) masih belum bersedia untuk digunakan dalam saingan Eropah.

Ini bermakna VAR masih lagi tidak akan digunakan dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah pada musim hadapan.

Teknologi video bantuan ini telah memberikan pelbagai reaksi selepas penggunaannya dalam saingan Piala Konfederasi 2017, Bundesliga dan pertandingan domestik di England musim ini.

Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB) akan membincangkan mengenai masa depan VAR pada mesyuarat agung tahunan yang berlangsung di Zurich, Switzerland.

Sekiranya mendapat kelulusan, FIFA dilaporkan akan menggunakan teknologi VAR ini pada Piala Dunia 2018 di Russia nanti.

Namun bagi Ceferin, proses penggunaan VAR terlalu mengelirukan banyak pihak ketika ini.

”Para penyokong melihat skrin VAR pada setiap masa tetapi tiada siapa yang mengetahui bagaimana cara ianya bekerja,” ujar Ceferin dalam kongres UEFA yang diadakan pada hari Isnin.

”Kami tidak akan menggunakannya dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan. Pada saya, ianya merupakan projek yang baik tetapi kami tidak mahu tergesa-gesa untuk melaksanakannya.”

VAR terus menjadi topik utama perbincangan di England hujung minggu lalu selepas aksi perlawanan akhir Piala Carabao dan aksi Liga Perdana Inggeris Manchester United bertemu Chelsea.

Pengurus Chelsea beranggapan bantuan video diperlukan selepas Alvaro Morata dikesan ofsaid ketika peluang pemain antarabangsa Sepanyol itu untuk menghasilkan jaringan penyamaan buat Chelsea.

Arsene Wenger jelas tidak berpuas hati dengan jaringan kedua yang dihasilkan Vincent Kompany dan beliau menyifatkan jaringan tersebut adalah 100% ofsaid.