UEFA Sarankan FA England Mansuh Piala Liga

Isu kepadatan jadual dalam kalangan pasukan bola sepak di England bukanlah satu topik baharu. Saban tahun ianya kerap dibincangkan dan hampir semua jurulatih atau pengurus pasukan akan bersuara mengenainya.

Masalah utama adalah masalah kecergasan pemain kerana ada pasukan yang terpaksa beraksi sehinga empat perlawanan dalam tempoh 10 hari.

Keadaan tersebut telah mendapat perhatian Presiden Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Aleksander Caferin dan beliau menyarankan supaya Persatuan Bola Sepak (FA) England memansuhkan kejohanan Piala Liga atau Piala Carabao untuk mengelak dari kepadatan jadual yang melampau.

Pasukan-pasukan bola sepak England yang beraksi di liga-liga utama bersaing merebut dua trofi iaitu Piala Liga dan Piala FA pada setiap musim, namun format dan penyusunan jadual sering mendapat kritikan daripada pasukan bertanding.

Antaranya adalah dua perlawanan separuh akhir Piala Liga dan perlawanan ulangan Piala FA yang menambah ‘kesesakan’ jadual bagi pasukan yang bertanding.

Liverpool sebelum ini terpaksa menghantar skuad bawah 23 tahun (B-23) untuk perlawanan peringkat suku akhir Piala Liga selepas skuat utamanya perlu terbang ke Qatar untuk menghadapi saingan Piala Kelab Dunia.

“Piala Liga tidak lagi dipertandingkan di Perancis selepas ini. Hanya tinggal England sahaja yang mengekalkannya. Saya rasa semua orang sedar adalah lebih baik sekiranya setiap pasukan tidak lagi terbeban dengan kejohanan tersebut,” kata Caferin ketika sesi temubual bersama The Times.

Badan pengurusan liga bola sepak Perancis pada September telah memutuskan untuk tidak lagi mempertandingkan Piala Liga atau Coupe de la Ligue bermula musim depan. Sementara Jerman, Sepanyol dan Itali juga hanya mempunyai satu piala sahaja yang dipertandingkan.

“Kita faham, kejohanan tersebut ada nilai sentimental kerana secara tradisinya ia telah dipertandingkan sejak sekian lama. Ia juga merupakan sumber kewangan kepada kelab-kelab tertentu. Jadi itulah masalahnya.”

Musim ini, Piala Liga menjadi milik Manchester City buat kali ketiga berturut-turut selepas menumpaskan Aston Villa 2-1 di Wembley.

Leave a Reply