Selepas menerima pelbagai kritikan kerana penganjuran Piala Eropah 2016 yang menggunakan format 24 pasukan, Pengarah Operasi UEFA, Martin Kallen (gambar bawah) memberi bayangan Piala Eropah 2024 mungkin akan menggunakan format 32 pasukan – seperti Piala Dunia.
Format 2016 galak bola sepak pasif?
Semasa Piala Eropah 2016 yang tamat baru-baru ini, pasukan yang berada di tempat ketiga peringkat kumpulan – Portugal – telah menjuarai kejohanan itu.
Tambah mengharukan, Portugal pula gagal memenangi mana-mana perlawanan dalam peringkat kumpulan mereka.
Dalam perlawanan terakhir kumpulan F menentang Hungary, Portugal kelihatan tidak berminat untuk menambah gol lagi ketika masih terikat 3-3 kerana pemenang perlawanan berpotensi menjadi naib juara kumpulan.
Menjadi naib juara kumpulan bererti mereka akan berada dalam laluan sama dengan pasukan-pasukan pilihan seperti Jerman, Perancis dan England dan terpaksa menentang mereka lebih awal.
Inilah yang dihadapi oleh naib juara kumpulan, Iceland yang berjumpa dengan England (peringkat 16 pasukan terakhir) dan Perancis (suku akhir).
Hal yang sama turut dilakukan oleh Ireland Utara dan Republik Ireland yang layak menerusi slot pasukan tempat ke-3 terbaik.
Ketua jurulatih Jerman, Joachim Loew adalah antara yang lantang bersuara menentang format Piala Eropah 2016 baru-baru ini. Beliau berpendapat Piala Eropah harus kembali kepada format 16 pasukan.
Menurut Loew lagi, pasukan seperti Albania dan Wales mara ke pusingan 16 pasukan terbaik dengan bermain corak bola sepak bertahan. Menurutnya lagi format 24 pasukan menggalakkan bolasepak ultra-defensif.
UEFA tidak akan kembali kepada format 16 pasukan
Bercakap mengenai kemungkinan Piala Eropah akan menggunakan kembali format 16 pasukan, Martik Kallen pantas mematikan idea tersebut.
Menurutnya UEFA mungkin tidak akan kembali dengan idea 16 pasukan. UEFA turut mengesahkan akan mengekalkan format sedia ada untuk penganjuran Piala Eropah 2020.
Ia sekaligus akan meneruskan lagi perdebatan isu kualiti pertandingan ini di masa akan datang. Ramai menjangkakan kualiti bola sepak Piala Eropah 2020 akan menjadi semakin bosan.
Kenapa UEFA mahu kekalkan format sedia ada?
Apabila majoriti ahli gabungan UEFA, wartawan, jurulatih dan peminat bola sepak Eropah mendesak UEFA supaya mengubah kembali format Piala Eropah, UEFA pula berkeras mempertahankannya. Apa sebabnya?
Ini kerana UEFA mendapat pendapatan lumayan berjumlah €1.93 bilion hasil daripada hak penyiaran 51 perlawanan daripada format 24 pasukan ini.
Ia peningkatan pendapatan komersial yang mendadak berbanding ketika menggunakan format 16 pasukan yang cuma menawarkan 31 perlawanan sahaja sebelum ini.
Perlu diingat, jumlah pendapatan tersebut masih belum merangkumi jumlah pendapatan jualan merchandises dan tiket.
Melalui format 24 pasukan bertanding, negara penganjur juga mendapat manfaat apabila jutaan penyokong bola sepak yang memasuki negara mereka membeli-belah; sekaligus meransang pertumbuhan ekonomi.
Mengulas kritikan format 24 pasukan, Martin Kallen berkata:
“Ramai orang persimis pada awalnya dengan sistem 24 pasukan, namun akhirnya ia terbukti berjalan dengan baik sekali”
Piala Eropah ikut format Piala Dunia
Walaubagaimanapun menurut kata Kallen, UEFA tetap komited untuk memantau kualiti pertandingan untuk memastikan kejohanan Piala Eropah berada dalam prestij yang tinggi.
“Jika format ada 4 lagi pasukan tempat ke-3 akan mara tidak digemari, maka format 32 pasukan mungkin akan lebih menjadi pilihan.”
“Ia adalah pilihan lebih baik berbanding format 16 pasukan.”
Kallen menyatakan, penganjuran 32 pasukan adalah idea yang akan menjadikan Piala Eropah seperti Piala Dunia. Jawatankuasa UEFA (gambar bawah) masih dalam proses penilaian untuk memastikan sama ada idea ini boleh dilaksanakan atau tidak seawal-awalnya pada 2024.
Pada masa yang sama, jika mereka mendapati format tersebut relevan, UEFA tidak akan menolak kemungkinan untuk mengguna pakai format tersebut.
Namun, buat masa ini Kallen menyatakan, format 24 pasukan adalah yang terbaik. Jadi, apakah pula pandangan anda?
Baca juga: Format Baru Piala Eropah 2016 Dikritik: Kurang Gol Dan Galak Pasukan Bermain Defensif