UEFA Mahu Perlawanan UCL Atletico Menentang Leipzig Diteruskan Seperti Biasa

Atletico Madrid UEFA

Kelab Sepanyol, Atletico Madrid akan kembali menjalani latihan pasukan pada petang Isnin selepas Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) membuat keputusan perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) melibatkan pasukan tersebut di Lisbon akan diteruskan seperti biasa.

Pasukan tersebut telah menangguhkan sesi latihan pagi dan menunda jadual perlawanan ke ibu kota Portugal apabila dua pemain, Angel Correa dan Semi Vrsaljko disahkan positif COVID-19 selepas menjalani ujian saringan.

Hasil perbincangan Atletico Madrid bersama UEFA, jurucakap badan induk bola sepak Eropah itu bertegas supaya perlawanan yang telah dirancang pada Khamis ini berjalan mengikut jadual dan enggan memberikan sebarang komen lanjut.

Kelab La Liga itu juga memaklumkan kedua-dua pemain yang disahkan positif itu tidak akan menyertai pasukan yang akan terbang ke Lisbon pada Selasa dan telah diarahkan untuk menjalani kuarantin di rumah masing-masing.

Mengikut protokal UEFA bagi setiap perlawanan untuk kejohanan Eropah, sekiranya pasukan tersebut mempunyai sekurang-kurangnya 13 orang pemain yang sihat termasuk seorang penjaga gol, perlawanan akan diteruskan seperti biasa.

Sekiranya gagal, barulah pihak UEFA akan menggunakan budi bicara mereka untuk merombak atau menangguh jadual perlawanan ke tarikh lain.

Keadaan ini mengingatkan semula dengan kejadian bas yang membawa pasukan Borussia Dortmund ketika dalam perjalanan untuk perlawanan UCL menentang Monaco telah diserang dengan bom pada 2017 sehingga mencederakan pemain pertahanan Sepanyol, Marc Bartra.

Keputusan UEFA untuk meneruskan perlawanan hanya sehari selepas serangan tersebut telah mendapat kritikan pelbagai pihak yang menganggap mereka tidak prihatin dan cakna kepada keadaan mental pemain Dortmund yang masih trauma menyebabkan mereka tewas 3-2 dalam perlawanan berekenaan.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak Eropah:

Leave a Reply