Walaupun sejak bertahun-tahun dikatakan mengamalkan perbuatan merasuah pengadil, tetapi UEFA gagal untuk menemui bukti yang Barcelona berbuat demikian.
Siasatan yang dilakukan terhadap kelab itu terhadap 70 pertanyaan ditanyakan oleh UEFA berjaya dijawab dengan baik oleh Barcelona dan ini membuatkan mereka seolah-olah memang tidak melakukan perbuatan ‘membeli’ pengadil hinggakan kelab itu boleh merangkul pelbagai piala.
Laporan Mundo Deportivo mengatakan, dua penyiasat daripada UEFA iaitu Jean Samuel Leuba dan Mirjan Koller mendapati yang Barcelona adalah kelab yang bersih dan suci daripada perbuatan itu dan mereka boleh menyertai saingan UEFA Champions League pada musim hadapan.
Hasil daripada siasatan tersebut menyaksikan yang dua penyiasat terbabit tidak berjaya untuk menemui bukti-bukti yang mencukupi untuk menyatakan Barcelona ada merasuah pengadil.
Namun begitu, siasatan ini belum lagi memasuki peringkat akhir dan kelab itu perlu menunggu sebelum jawapan muktamad dikeluarkan untuk menentukan adakah mereka benar-benar bersih daripada pertuduhan tersebut atau pun tidak.
Buat masa sekarang, dua penyiasat itu UEFA perlu mengadakan proses raktifikasi mengenai laporan mereka kepada Majlis Rayuan UEFA yang akan dinilai oleh tiga orang.
Sentimen terhadap Barcelona yang dikatakan suka ‘membeli’ pengadil ini sudah berada lama terutamanya ketika era Pep Guardiola menjadi pengurus kelab itu.
Kelab itu dituduh berbuat sedemikian selepas terdapat banyak perlawanan di mana keputusan-keputusan pengadil seolah-olah memihak kepada mereka.