Financial Fair Play, 11 Perkara Asas Yang Anda Perlu Tahu

Sejak 2-3 hari ini kita tiba-tiba berminat bercerita tentang financial fair play (FFP). Kami percaya ianya kerana manifesto daripada Tan Sri Annuar Musa yang mahu FFP diperkenalkan di Malaysia.

Sebenarnya, artikel ini harus lebih panjang, namun saya ringkaskannya sebaik mungkin. Untuk maklumat lebih lengkap anda boleh baca di lama web rasmi UEFA.

1. Apa itu Financial Fair Play

FFP adalah satu mekanisme kawalan ke atas perbelanjaan kelab-kelab yang dicetuskan oleh UEFA pada 2011. Ianya untuk memastikan akaun kelab-kelab di Eropah kekal sihat daripada hutang melampau.

Ia juga untuk membantu kelab supaya lebih cekap dalam menguruskan perbelanjaan dan tidak mengikut emosi.

2. Bila ia diperkenalkan?

Kertas cadangan FFP disahkan pada 2010. Perlaksanaannya mulai berkuat kuasa pada awal musim 2011/12 ataupun pada Jun 2011.

3. Kenapa ia diwujudkan?

Sebelum itu, UEFA mengumumkan hadiah terkumpul bernilai €900 juta untuk UCL dan €225 juta untuk UEL untuk musim 2011/12.

Ini membuatkan banyak kelab yang berbelanja besar untuk menyertai kejohanan tersebut. Impak turut dirasai oleh kelab kecil.

Hal ini kerana inflasi pada harga pemain dan juga permintaan gaji yang meningkat mendadak.

Hutang semua kelab yang bertanding dalam kejohanan Eropah meningkat kepada €1.6 billion. Ia dikhuatiri akan menjadi €8 billion dalam beberapa tahun lagi jika tidak dikawal.

Ada kelab yang membelanjakan untuk membayar gaji pemain lebih daripada 70% daripada pendapatan tetap kelab mereka.

4. Pihak yang terlibat

Presiden UEFA ketika itu Michel Platini dan setiausaha UEFA, Gianni Infantino (Presiden FIFA hari ini) telah menyegerakan perlaksanaan Financial Fair Play.

Pada fasa awal, ia dikuatkuasa untuk kelab-kelab yang bertanding di kejohanan UCL dan UEL. Pada Jun 2015, ia diguna pakai kepada mana-mana kelab yang bernaung di bawah UEFA.

Melalui FFP, UEFA akan menilai sama ada kelab-kelab yang bakal bertanding di Eropah ini  bebas hutang dengan:

1. Kelab lain (biasanya hutang beli pemain)
2. Pemain (tunggakan gaji, bonus dan klausa lain)
3. Badan cukai ataupun badan sosial yang lain

Jadi, setiap kelab perlu membentangkan bil dan dokumentasi sokongan tentang bayaran yang mereka lakukan.

Pada 2013, UEFA mulai mengambil kira break-even point (pulang balik modal) untuk status kewangan kelab bermula musim 2014/15.

Jadi, kelab harus menyeimbangkan perbelanjaan dan pendapatan serta mengawal hutang terkumpul.  Bila mereka akan mendapat pulangan modal?

Sebagai langkah untuk menyokong lebih perlaburan kepada stadium, keperluan latihan, pembangunan bakat muda dan bola sepak wanita.

UEFA mengecualikan perlaburan ataupun perbelanjaan untuk perkara tersebut daripada kiraan pulangan balik modal.

5. Peranan Club Financial Control Body (CFCB)

Ia adalah badan bebas dilantik oleh UEFA untuk mengaudit semua laporan kewangan kelab.

Semua kelab perlu mengelakkan perbelanjaan melampau terutama sekali gaji pemain.

Mereka dilarang membelanjakan  70% atau lebih daripada pendapatan kelab untuk gaji pemain seperti yang pernah berlaku kepada beberapa kelab sebelum ini.

Pada 2012, ketika audit dilakukan CFCB kepada kelab EPL, hanya Arsenal yang lulus. Manakala Manchester United, Chelsea, Liverpool, dan Manchester City semuanya gagal.

Kelab-kelab tersebut kemudian diberikan teguran untuk mengurangkan beban hutang mereka untuk mengelakkan mereka daripada tidak layak beraksi dalam kejohanan Eropah.

7. Berapa defisit perbelanjaan yang boleh dibuat? 

Pada awal FFP, kelab diberikan kelonggaran untuk berbelanja lebih daripada €5 juta pendapatan mereka berdasarkan laporan audit pertama CFCB.

Namun kelab masih boleh berbelanja lebih daripada itu, dengan syarat mereka perlu membentangkan bukti kukuh sumber kewangan mereka. Ini akan dinilai oleh UEFA.

8. Berapa jumlah yang boleh dihutang?

Hutang adalah sebahagian daripada perniagaan. Ini termasuk di dalam pengurusan bola sepak.

Pada 2011, UEFA turut mengetatkan beban hutang kepada €45 juta untuk 2 musim untuk kelab yang bertanding di UCL dan UEL.

Namun UEFA menukar kepada €30 juta untuk 2 musim atau €15 juta semusim pada penggal 2015/16 sehingga 2017/18.

Laporan The Guardian, Manchester City dilaporkan mengalami kerugian sebesar sekitar €122.3 juta pada 2012-2013 dan PSG sekitar €130 juta.

Mereka terpaksa berbelanja besar kerana mahu memastikan mereka tidak ada hutang dengan pihak lain. Manchester City dan PSG turut melabur besar dalam pembangunan bakat muda.

Namun kedua-dua kelab tersebut memiliki sumber modal yang sangat besar dan seakan-akan tidak terbatas.

UEFA tetap memberikan peringatan dan teguran termasuk mengenakan kawalan kepada had pemain yang mereka boleh daftarkan dalam kejohanan Eropah.

Hadiah wang pertandingan UCL mereka turut dipotong.

9. Apa akan jadi jika kelab tidak menepati FFP?

Mereka akan dikenakan tindakan seperti:

a) Amaran
b) Teguran
c) Denda
d) Dipotong mata
e) Hadiah/bonus dari kejohanan UEFA dibekukan atau ditarik balik
f) Larangan mendaftarkan pemain baru dalam kejohanan UEFA
g) Mengetatkan jumlah pemain yang boleh didaftarkan oleh kelab yang beraksi dalam kejohanan Eropah termasuk arahan untuk mengurangkan jumlah kakitangan dan bonus kepada pemain
h) Disingkirkan daripada kejohanan ketika ia sedang berlangsung ataupun pada masa yang akan datang
i) Kejuaraan ataupun anugerah ditarik balik

Beberapa kelab pernah dikenakan siasatan lebih mendalam oleh CFCB kerana ada aspek FFP yang mereka gagal penuhi spesifikasi.

Antaranya Malaga, Sporting Lisbon, Fenerbahce dan Atletico Madrid. Banyak kelab yang sudah didenda dan dikenakan tindakan oleh UEFA di bawah peraturan FFP.

AS Roma, Inter Milan dan AS Monaco pernah dihukum hanya mendaftarkan 22 orang pemain dalam kejohanan Eropah musim 2015/16.

Inter antara kelab yang pernah didenda sebesar U$D 22 juta.

10. Boleh tak pemilik kelab menyuntik dana?

Ianya memerlukan pengesahan daripada UEFA. Sebelum ini UEFA sudah melarang aktiviti suntikan dana peribadi oleh pemilik kelab seperti yang dilakukan Abramovich ketika awal beliau memiliki Chelsea.

Ada pemilik menyuntik dana melalui nama penaja. Perkara ini juga memerlukan verifikasi oleh UEFA.

UEFA sebelum ini mengetatkan kiraan pendapatan kelab kepada satu sumber kewangan yang stabil dan berterusan seperti dari organisasi dan penaja.

UEFA mahukan jurang persaingan itu lebih adil, dan pasukan yang mendapat merit daripada prestasi mereka dapat bersaing. Misalnya, sebuah kelab kecil layak ke UCL kerana prestasi cemerlang mereka.

Jika tiada FFP, wang bonus mereka dan hak penyiaran kelab kecil ini tadi akan terlalu jauh daripada yang lain, yang ada pemilik kaya raya. Ini yang UEFA cuba kawal.

Semakin besar liga, semakin tinggi kuasa wang sesebuah pasukan kerana kemampuan liga itu menjana keuntungan.

Seterusnya, setiap pasukan  perlu bijak mencari tajaan. Ini yang membezakan mereka dengan pasukan lain. Publisiti memainkan peranan yang penting.

Selain itu, penjualan pemain juga menjadi antara penyumbang utama dana.

UEFA mahu setiap pasukan berteraskan sumber pendapatan yang sama dengan bonus hasil daripada pencapaian mereka di atas padang.

Dan selepas cemerlang di atas padang, maka datanglah publisiti yang akan menarik penaja masuk.

11. Apa kaitan FFP dengan lesen untuk bermain di pertandingan UEFA?

Semua kelab memerlukan lesen ataupun geran daripada UEFA untuk membolehkan mereka layak bertanding di kejohanan UEFA.

Antara yang menjadi regulasi kepada perlesenan ini adalah status FFP.

Rumusan

Ia adalah mekanisme yang sangat baik diperkenalkan oleh UEFA. Antara 2 perkara penting yang anda harus ingat.

Pertama, jumlah bil gaji semua pemain hendaklah di bawah paras 70% daripada pendapatan kelab. Gaji pemain ini tertakluk di bawah hutang keseluruhan.

Kedua, hutang keseluruhan kelab hendaklah tidak melebihi 80% daripada pendapatan kelab.

Sebab itu Manchester United tidak terkena salah laku FFP walaupun hutang mereka lebih €536 juta. Pendapatan mereka tahun lalu adalah £535 juta.

Dalam bahasa mudahnya, anda harus membentangkan modal dan pendapatan anda sebelum berbelanja. Modal yang anda akan gunakan untuk musim hadapan itu biasanya akan diumumkan sebelum musim semasa berakhir.

Ini untuk mengelakkan kelab berhutang dengan pihak lain dan juga menanggung kerugian berterusan hanya kerana mahu membina pasukan dengan pemain bintang.

Jangan dengan FFP, tiada isu kelab berbelanja dahulu sebelum duit itu masuk ataupun jumlah yang mencukupi sudah ada di dalam akaun atau duit dalam tangan.

Nanti kecoh pula berkata menunggu duit tajaan masuk untuk lunaskan gaji pemain.

Seterusnya, kita perlukan satu badan yang benar-benar cekap dalam mengendalikan audit.

Hutang adalah sebahagian daripada pengurusan bola sepak. Namun dengan FFP, kelab akan mem astikan mereka ada aset yang boleh menjamin masa depan kelab dengan hutang yang tidak terlalu tinggi.

Sebab itu ditegaskan isu perlaburan untuk stadium, akademi dan perancangan kewangan yang mapan supaya dijadikan praktikal standard.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN