UCL 2019/20: Tundukkan Napoli, Barcelona Bakal Nanti Bayern Munich

Barcelona Arturo Vidal

Barcelona menjadi pasukan terakhir menempah slot ke peringkat suku akhir selepas berjaya menundukkan wakil dari Itali, Napoli 3-1 pada aksi yang berlangsung di Nou Camp, sebentar tadi.

Antara fakta yang dapat dikongsikan pada perlawanan ini ialah keempat-empat gol dijaringkan pada separuh masa pertama, dua jaringan terhasil menerusi sepakan penalti dan dua lagi jaringan dibatalkan.

Terlepas peluang untuk menjulang saingan La Liga musim ini menyaksikan UCL menjadi satu-satunya harapan buat Barcelona untuk menamatkan saingan 2019/20 dengan kejayaan.

Cita-cita itu nyata terserlah apabila skuad bimbingan Quique Setien itu berjaya membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 menerusi pemain pertahanan, Clement Lenglet.

Lenglet yang menerima umpanan hasil sepakan penjuru diambil Ivan Rakitic, melonjak tinggi untuk menanduk masuk bola bagi menewaskan penjaga gol Napoli, David Ospina.

Tidak cukup dengan jaringan tersebut, kelincahan Lionel Messi pada minit ke-23 telah menjadikan kedudukan 2-0 buat pasukan tuan rumah susulan gerakan solo daripada kapten berusia 33 tahun itu.

Berjaya melepasi kawalan beberapa pemain pertahanan dalam kawasan penalti Napoli, Messi masih berupaya melakukan percubaan yang sekaligus membolosi gawang Napoli meskipun beliau pada ketika itu sudah hampir terjatuh.

Berselang tujuh minit kemudian, pemenang enam kali Ballon d’Or itu hampir menambah gol kedua peribadi pada perlawanan ini tetapi jaringannya dibatalkan oleh Video Assistant Referee (VAR) selepas bola terlebih dahulu terkena tangannya.

Dua jaringan lagi terhasil pada masa kecederaan babak pertama apabila Luis Suarez menyempurnakan sepakan penalti setelah Kalidou Koulibaly mengasari Messi dalam kawasan penalti.

Napoli kemudiannya turut dihadiahkan sepakan penalti berikutan kekasaran Rakitic terhadap Dries Mertens dan sepakan itu disempurnakan oleh ketua pasukan, Lorenzo Insigne.

Pasukan pelawat yang dibimbing Gennaro Gattuso berusaha keras untuk terus merapatkan defisit jaringan tetapi mereka dikecewakan pada minit ke-81 apabila jaringan Arkadiusz Milik dibatalkan kerana beliau berada keadaan ofsaid.

Kemaraan hasil agregat 4-2 itu menyaksikan The Blaugrana akan berdepan Bayern Munich pada aksi suku akhir yang dijadualkan berlangsung di Portugal, 14 Ogos nanti.

Kredit featured image: FC Barcelona

Leave a Reply