Raheem Sterling akan mengingati perlawanan awal pagi tadi sebagai detik paling buruk dalam sejarah kariernya selepas gagal membantu Manchester City melayakkan diri ke separuh akhir UEFA Champions League.
Sebaliknya Lyon – underdog dalam perlawanan ini – yang berjaya menewaskan City 3-1 dalam aksi suku akhir UEFA Champions League 2019/2020 yang penuh kontroversi dan kesilapan.
Lyon terlebih dahulu di hadapan pada minit ke-24 hasil penyudah Maxwel Cornet yang tak dikawal selepas Eric Garcia berjaya menghalang kemaraan penyerang Lyon Karl Toko Ekambi.
Tetapi City yang kelihatan tak bermaya pada separuh masa pertama dalam sistem tiga pertahanan tengah, kembali bernyawa pada minit ke-69 hasil inspirasi Kevin de Bruyne yang menyudahkan hantaran Sterling.
Terikat 1-1, Lyon kemudiannya menghantar masuk bekas penyerang Celtic Moussa Dembele. Penyerang Perancis ini mengembalikan semula pendahuluan Lyon 11 minit sebelum perlawanan tamat selepas VAR gagal mengesan kesalahan jelas beliau untuk menewaskan Aymeric Laporte dan Ederson.
City berpeluang untuk menyamakan kedudukan. Tetapi Sterling membunuh semangat City selepas mempersia-siakan peluang terhidang hasil hantaran Gabriel Jeses pada minit ke-86.
Kegagalan Sterling ini sangat merugikan City kerana Dembele kemudiannya menjaringkan gol keduanya selepas Ederson pula membuat kesilapan ketika menangani rembatan Houssem Aouar.
Dengan kemenangan ini, bermakna Premier League kehilangan satu-satunya wakil dalam saingan separuh akhir Champions League musim ini. Dua kelab Perancis (Lyon dan PSG) dan dua kelab Jerman (RB Leipzig dan Bayern Munich) yang akan berentap dalam aksi separuh akhir.
Lyon akan bertemu Bayern Munich dalam aksi separuh akhir Champions League awal pagi Khamis minggu depan.