UCL: Gol Jaringan Vinicius Jr Bantu Real Madrid Julang Mahkota Eropah Ke-14

Liverpool turun beraksi bertemu Real Madrid dalam aksi perlawanan akhir saingan Champions League awal pagi ini di Stade De France.

Perlawanan  akhir pada hari ini dianggap sebagai aksi ulangan perlawanan akhir saingan Champions League pada tahun 2018 yang lalu.

Los Blancos berjaya menundukkan Liverpool 3-1 pada tahun 2018 yang lalu dan jelas sekali skuad kendalian Jurgen Klopp itu turun pada hari ini dengan misi mahu membalas dendam.

Sukar sebenarnya untuk meramal siapa yang bakal muncul juara pada musim ini kerana kedua-dua pasukan mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Real Madrid melalui laluan yang sangat sukar sebelum ini dengan mereka terpaksa berdepan dengan pasukan seperti Paris Saint Germain, Chelsea dan Manchester City untuk layak ke pentas perlawanan akhir bertemu Liverpool.

The Reds sementara itu layak ke perlawanan akhir selepas kejayaan mereka menyingkirkan pasukan seperti Inter Milan, Benfica dan Villareal.

Kedua-dua pasukan hari ini telah menurunkan skuad terbaik mereka dalam usaha untuk menang seterusnya dinobatkan sebagai juara saingan Champions League musim 2021/22 ini.

Liverpool memulakan perlawanan dengan sangat cemerlang dan mereka jelas sekali sedikit dominan pada 10 minit pertama permainan.

Tiada sebarang gol atau percubaan merbahaya yang berjaya dilakukan oleh kedua-dua pasukan, namun aksi dan persembahan yang mereka persembahkan sangat menghiburkan.

Pada minit ke-20 permainan, Liverpool hampir sahaja membuka tirai jaringan mereka dalam perlawanan ini menerusi Sadio Mane.

Sayangnya bola rembatan Mane terkena tiang gol sebelum diselamatkan oleh penjaga gol Real Madrid, Thibaut Courtois.

Tiga puluh minit permainan berlangsung, kedua-dua pasukan sepertinya masih tercari-cari rentak dan tempo permainan mereka namun Liverpool jelas sekali masih lagi dominan.

Liverpool sudah berjaya mencipta 5 percubaan tepat, sementara Real Madrid masih gagal untuk menguji Alisson Becker.

Minit ke-42 permainan, Karim Benzema berjaya membuka tirai jaringan untuk Real Madrid selepas memanfaatkan keadaan huru-hara di dalam kotak penalti Liverpool.

Gol tersebut walau bagaimanapun telah dibatalkan oleh pengadil perlawanan kerana Benzema didakwa berada dalam kedudukan offside sebelum melepaskan rembatan.

Aksi babak pertama berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan, dengan Liverpool jelas sekali mendominasi aksi 45 minit pertama permainan.

Real Madrid memulakan aksi babak kedua dengan sangat baik dan corak permainan mereka juga dilihat lebih teratur.

Pada minit ke-59 permainan, Real Madrid  berjaya membuka tirai jaringan mereka menerusi Vinicius Jr hasil umpanan cantik dari Valverde.

Valverde membawa bola dari sudut sebelah tepi dan melorongkan bola tersebut ke dalam kotak penalti Liverpool.

Vinicius Jr kemudiannya melakukan tap in mudah untuk menewaskan Alisson Becker, seterusnya membantu Real Madrid mendahului permainan dengan keputusan 1-0.

Liverpool dilihat terus menerus memburu gol penyamaan namun malangnya kecekapan Courtois menggagalkan usaha mereka untuk menyamakan kedudukan.

Pengadil perlawanan memberikan tambahan masa selama 5 minit, namun ia gagal dimanfaatkan oleh skuad Liverpool untuk menyamakan kedudukan.

Real Madrid sah dinobatkan sebagai juara saingan Champions League musim ini selepas kejayaan mereka menewaskan Liverpool 1-0.

Rumusan

Satu-satunya sebab selain gol jaringan Vinicius yang menyebabkan Real Madrid muncul juara pada musim ini adalah kecekapan Thibaut Courtois.

Penjaga gol kebangsaan Belgium itu jelas sekali sedang berada di tahap persembahan terbaiknya dalam perlawanan ini dan beliau selayaknya untuk dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.

Tanpa beliau Liverpool bukan hanya mampu menjaringkan gol penyamaan, bahkan anak-anak buah Jurgen Klopp itu juga turut berpotensi untuk menjaringkan gol pendahuluan dalam perlawanan ini.

Tidak dinafikan juga yang pemain pertahanan Real Madrid turut beraksi cemerlang dalam perlawanan ini seterusnya menjadi nadi penting kejayaan Los Blancos menjuarai saingan Champions League musim ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN