UCL: Bagaimana Liverpool Masih Boleh Mara Berdasarkan Peraturan ‘Tie-Breaker’ UEFA?

Corak permainan menyerang oleh Liverpool pada musim lalu berjaya membawa mereka mara sehingga ke perlawanan akhir UEFA Champions League (UCL), sebelum tewas 3-1 kepada Real Madrid.

Liverpool juga gah di dalam pertandingan domestik musim ini – dilihat sebagai satu-satunya pasukan yang konsisten untuk bersaing dengan Manchester City di kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris – skuad kendalian Klopp sehingga kini belum lagi tewas dalam 13 perlawanan.

(Photo by Rob Newell – CameraSport via Getty Images)
Kisah di Champions League

Di sebalik kejayaan pada musim lalu, cabaran Liverpool di pertandingan elit eropah (UCL) pada musim ini masih tidak menggambarkan stabiliti yang mereka miliki sebelum ini – atau sekurang-kurangnya menyamai prestasi mereka di saingan domestik pada musim ini.

Liverpool yang boleh mendabik dada sebagai juara lima kali pertandingan eropah itu kini telah tewas empat dari enam perlawanan terakhir dalam pertandingan tersebut.

(Photo credit should read ANDREJ ISAKOVIC/AFP/Getty Images)

Musim ini turut menyaksikan kelab Merseyside itu tewas semua perlawanan yang diadakan di tempat lawan.

Tamat perlawanan menentang Paris Saint-Germain pada awal pagi tadi, misi seterusnya jelas – Liverpool kini bergelut untuk tidak dihumbankan ke saingan Liga Europa – dan kekal bersaing sebagai salah sebuah pasukan berstatus elit di Eropah. Ia bukan kedudukan yang dijangkakan pada awal musim buat finalis musim lalu tersebut.

(Photo by Ian MacNicol/Getty Images)
Kedudukan terkini

Tewas 2-1 kepada Paris Saint-Germain ketika baki saingan peringkat kumpulan tinggal satu perlawanan, menyebabkan Liverpool kini menduduki tangga ke-3 saingan Kumpulan C di pertandingan UEFA Champions League 2018/19.

Namun saingan Kumpulan C sebenarnya masih terbuka. Kemenangan 3-1 ke atas Red Star Belgrade pada pagi tadi bermakna Napoli mendahului Kumpulan C dengan 9 mata.

SUmber: UEFA

Dua kemenangan dan dua seri memberi kelebihan untuk PSG berada di tangga kedua – mengatasi Liverpool yang memiliki enam mata hasil dua kemenangan setakat ini.

Sekurang-kurangnya nasib Liverpool kini berada di tangan mereka sendiri. Namun demikian, kemenangan sahaja masih tidak memadai untuk Liverpool mengesahkan kemaraan. Bagaimanakah peraturan tie-breaker oleh UEFA boleh memastikan kemaraan Liverpool?

Peraturan tie-breaker UEFA

Peraturan oleh UEFA bagi perlawanan peringkat kumpulan boleh menjadi agak rumit untuk difahami. Secara asasnya untuk menentukan kedudukan di dalam kumpulan, UEFA menggunakan peraturan tie-breaker seperti berikut:

Jika terdapat dua atau lebih pasukan terikat mata, maka peraturan head-to head akan digunakan.

  • Jumlah kutipan mata daripada perlawanan head-to-head di kalangan pasukan yang terikat mata.
  • Perbezaan jaringan dalam perlawanan head-to-head melibatkan pasukan yang terikat.
  • Jumlah jaringan oleh pasukan dalam perlawanan head-to-head.
  • Jumlah gol di tempat lawan dalam perlawanan head-to-head.

Jika lebih dari dua pasukan terikat dengan mata yang sama dan tidak boleh dipisahkan melalui peraturan head-to-head di atas, maka peraturan tie-breaker di bawah akan digunakan”

  • Perbezaan jaringan di peringkat kumpulan.
  • Jumlah jaringan di peringkat kumpulan.
  • Jumlah jaringan tempat lawan di peringkat kumpulan.
  • Jumlah kemenangan di peringkat kumpulan.
  • Jumlah kemenangan di tempat lawan dalam peringkat kumpulan
  • Peraturan kad disiplin (red card = 3 points, yellow card = 1 point, 2 two yellow cards in one match = 3 points)
  • UEFA Co-efficient ranking (ranking liga oleh UEFA)

Peraturan sebegini sebenarnya bukan baru, dan telah diamalkan oleh kebanyakkan pertandingan anjuran UEFA dan FIFA yang lain.

Bagaimana situasi Liverpool?

Tidak syak lagi keputusan seri atau tewas dalam perlawanan menentang di Napoli, bermakna Liverpool akan terhumban ke pertandingan Liga Europa. Namun bagaimana kemenangan boleh mengesahkan kemaraan skuad kendalian Jurgen Klopp ke pusingan kalah mati?

Untuk rekod, Napoli menewaskan Liverpool 1-0 di San Paulo pada 4 Oktober lalu.

Sumber: UEFA
  • Liverpool Menang 1-0 : Jika Liverpool berjaya menewaskan Napoli dengan jaringan 1-0, ini bermakna Liverpool berjaya mengatasi kelab Itali itu di dalam kedudukan Kumpulan C atas kelebihan jaringan. Liverpool juga akan mara, dan akan menjadi juara kumpulan sekiranya PSG tewas kepada Red Star Belgrade. Jika PSG mencatatkan keputusan seri di Belgrade, tiga pasukan akan terikat dengan tiga mata. Di dalam situasi ini, Napoli paling berisiko untuk disingkirkan kerana perbezaan jaringan yang sedikit di peringkat kumpulan di kalangan tiga pasukan tersebut.
  • Liverpool menang 2-0: Jika Liverpool berjaya menjaringkan dua gol atau lebih tanpa membenarkan Napoli membolosi gawang mereka, maka kedudukan Liverpool adalah selamat tanpa perlu menghiraukan keputusan perlawanan di Belgrade. Namun Liverpool cuma akan muncul sebagai naib juara kumpulan bergantung kepada jumlah jaringan oleh PSG menentang Red Star – sama ada seri atau menang.
  • Liverpool menang 2-1, 3-2: Liverpool akan berisiko berhadapan penyingkiran kerana kelebihan gol di tempat lawan yang diperolehi Napoli secara head-to-head. Namun ia masih bergantung kepada perlawanan di antara PSG dan Red Star Belgrade. Liverpool akan sah tersingkir jika PSG menang, dan tetap akan mara sekiranya Red Star berjaya mengejutkan PSG. Keputusan seri akan di antara PSG-Red Star sekali lagi akan meletakkan Napoli berhadapan penyingkiran.
(Dave Thompson/PA via AP)
Rumusan

Ia seperti agak rumit untuk difahami. Namun kita boleh rumuskan nasib Liverpool sebenarnya terletak di dalam tangan mereka sendiri.

Faktor beraksi di Anfield pasti memberi sedikit kelebihan buat mereka. Fakta bahawa Red Star Belgrade yang belum tewas di dalam aksi di tempat sendiri di pertandingan eropah setakat ini mungkin juga akan menjadi penentu siapa yang lebih layak untuk mara ke pusingan kalah mati dari Kumpulan C.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN