UCL 2020/21: Rashford Terus ‘Hantui’ PSG, Bantu Man Utd Raih Kemenangan

Rashford

Marcus Rashford sekali lagi memainkan peranan penting dalam membantu Manchester United meraih kemenangan di Parc des Princes apabila jaringannya pada lewat permainan berjaya menundukkan Paris Saint-Germain (PSG) 2-1, awal pagi tadi.

Ini juga menyaksikan United menang buat kali berturut-turut bertemu finalis musim lalu itu di gelanggang lawan selepas melakukannya pada kempen 2018/19 di peringkat 16.

Kemenangan yang dicatatkan itu bagaimanapun tidak hadir dengan mudah apabila skuad bimbingan Thomas Tuchel itu tampil dengan meyakinkan pada 15 minit awal dengan beberapa percubaan menarik terutamanya menerusi Angel Di Maria dan Kylian Mbappe pada minit ke-11 dan 13.

Penjaga gol Manchester United yang sebelum ini menjadi mangsa kritikan, David De Gea mempamerkan ketangkasan setelah beliau menafikan kedua-dua percubaan tersebut bagi menyelamatkan keadaan.

Kekasaran yang dilakukan pemain pertahanan, Abdou Diallo terhadap Anthony Martial mengakibatkan sepakan penalti telah diberikan kepada Manchester United tetapi Bruno Fernandes hampa sepakannya berjaya ditepis Keylor Navas.

Bagaimanapun, beliau yang bertindak selaku kapten United pada perlawanan ini bernasib baik apabila Video Assistant Referee (VAR) telah mengesan Navas terlebih dahulu keluar dari kawasannya sebelum sepakan diambil.

Ini memberikan peluang buat Fernandes untuk mengambil semula sepakan dan kesempatan itu tidak disia-siakannya pada minit ke-24 bagi membuka tirai jaringan.

Tuan rumah kembali menyamakan kedudukan di minit ke-55 selepas Martial tertanduk bola ke dalam gawangnya sendiri susulan sepakan sudut yang diambil Neymar.

Ketika PSG giat menggandakan asakan untuk menambah jaringan pada perlawanan ini, Rashford muncul wira buat Manchester United setelah percubaan rendah dilakukannya pada minit ke-87 gagal dihalang Navas bagi menghadiahkan kemenangan buat skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer itu.

Sementara itu dalam satu lagi aksi kumpulan H, dua jaringan daripada Angelino menyaksikan RB Leipzig menewaskan Istanbul Beseksehir 2-0 di Red Bull Arena Leipzig.

Satu lagi wakil England, Chelsea terikat tanpa jaringan bertemu Sevilla di laman sendiri manakala Barcelona membelasah Ferencvaros 5-1 hasil jaringan Lionel Messi, Ansu Fati, Phillipe Coutinho, Pedri dan Ousmane Dembele.

Alvaro Morata pula cemerlang dengan dua jaringannya dalam membantu Juventus meraih kemenangan 2-0 ke atas Dynamo Kiev dan Lazio yang kembali membuat penampilan dalam UCL cemerlang menumbangkan Borussia Dortmund 3-1 di Stadio Olimpico.

Kredit featured image: Matthew Peters/Manchester United via Getty Images

 

 

 

Leave a Reply